Petaling Jaya terus catat IPU tidak sihat


Ravin Palanisamy

Petaling Jaya melaporkan bacaan IPU tidak sihat sejak jam 7 pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

PETALING Jaya kekal sebagai satu-satunya bandar raya yang terus merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara, bacaan adalah 114 setakat 7 malam hari ini.

Petaling Jaya melaporkan bacaan IPU tidak sihat sejak 7 pagi tadi.

Bacaan 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Bacaan IPU di Segamat, Johor berada dalam kurungan tidak sihat dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang dan bacaan kualiti udara menurun kepada sederhana pada 6 petang.

Bagaimanapun, bacaan IPUnya agak tinggi pada 98.

Sebanyak lapan stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU yang baik, dengan lima daripadanya datang dari negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur.

Tanjung Malim di Perak, Kota Tinggi di Johor, Temerloh di Pahang, Kota Kinabalu, Sandakan, Kimanis di Sabah dan Kapit dan Sarikei di Sabah mencatat bacaan IPU yang baik.

Kualiti udara adalah sederhana di seluruh negara.

Semenanjung kini mengalami cuaca panas dan berkabus. Minggu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka. – 22 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen