PJ ibarat rumah kedua saya, kata ahli Parlimen 


Noel Achariam

Lee Chean Chung berkata sebagai ahli Parlimen baharu, banyak isu yang perlu ditangani dan memperkenalkan diri kepada penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Februari, 2023.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung tidak asing di bandar ini kerana ia tempat pertama beliau menetap selepas meninggalkan kampung halamannya di Kuantan.

Lee berkata PJ menjadi rumah kedua beliau sejak tinggal di bandar selama sedekad dari 2003.

“Ini rumah kedua saya. Di sinilah saya belajar bagi pengajian tinggi dan bekerja. Jadi, saya cukup kenal dengan PJ,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee berkata sebagai ahli Parlimen baharu, banyak isu yang perlu ditangani dan memperkenalkan diri kepada penduduk.

“Terdapat kira-kira 200,000 pengundi di sini, jadi saya masih turun padang untuk bertemu mereka.

“Sama seperti ahli Parlimen baharu di kawasan baharu, kita perlu kenali rakyat. Saya menyertai program rakyat seperti majlis Krismas, gotong royong, sepak takraw dan acara lain.”

Lee adalah bekas Adun dua penggal Semambu, Pahang sebelum berpindah ke Petaling Jaya.

Beliau memenangi kerusi itu yang sebelum ini disandang oleh bekas ahli Parlimen Maria Chin Abdullah dalam pertarungan enam penjuru.

Lee menceburi bidang politik pada 2007 apabila beliau dipanggil untuk membantu Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkempen pada pilihan raya umum 2008.

Sim menang dan ia menambah keinginan Lee untuk pergi lebih jauh dalam politik.

“Ketika itu saya mempunyai gaya hidup korporat yang sangat selesa tetapi selepas PRU12, PKR memerlukan pegawai penyelidik di Parlimen untuk menyokong 30 ahli Parlimen.

“Saya sudah ada pengalaman dalam bidang perundingan, jadi saya letak jawatan dan mencuba. Kemudian pada 2009 dan seterusnya ada isu di Kuantan seperti Lynas dan isu lain.

“Jadi, saya agak berminat untuk menyumbang dan masa itu saya berulang-alik dari PJ ke Kuantan,” katanya sambil mengimbau kembali tahun awal penglibatanya dalam PKR.

Lee berkata beliau kemudian diminta PKR untuk bertanding kerusi DUN.

“Saya menang dan membawa keluarga saya pulang ke Kuantan selama 10 tahun. Saya kemudian diminta kembali ke PJ untuk bertanding,” katanya menjelaskan penampilan sulungnya di kerusi Parlimen Petaling Jaya.

Lee yang sudah berkahwin mempunyai tiga anak berusia 8, 10 dan 11 tahun.

Lee menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai inspirasinya dalam politik.

“Saya menyaksikan bagaimana beliau dibebaskan, kembali ke penjara dan kemudian dibebaskan semula.

“Saya juga memulakan petisyen untuk mendapatkan satu juta tandatangan untuk membebaskan Anwar. Jadi, kami membina hubungan yang sangat profesional dan beliau banyak memberi inspirasi kepada saya.

“Bukan mudah untuk mencari tokoh antarabangsa yang melalui semua perjuangan ini.”

Beliau berkata faktor lain yang mendorongnya menyertai PKR adalah kerana parti itu berbilang kaum dan beliau percaya ini adalah masa depan Malaysia.

“Kita harus hidup, belajar, menghargai dan bekerjasama di bawah satu bumbung sebagai parti berbilang kaum dan itu pilihan saya.

“Saya juga suka cara kita boleh menjaga semua golongan rakyat. Semasa berkempen Anwar dari kedai kopi Cina ke kuil Hindu dan kemudian ke kampung Melayu. Inilah PKR.

“Kami bukan hanya berkhidmat untuk satu komuniti, tetapi semua orang.”

Les berkata bekas ahli Parlimen PJ Maria Chin Abdullah sangat menyokongnya.

“Kami sedang melakukan program bersama dan bekerjasama. Ia tidak sukar bertentangan dengan apa yang orang fikirkan.

“Saya juga akan memastikan beberapa projek yang dilakukannya akan diteruskan,” katanya

Mengenai penduduk PJ, beliau berkata mereka sangat mengalu-alukan, lantang dan berterus-terang dalam berurusan dengannya.

Beliau berkata kebanyakan penduduk yang ditemuinya ikhlas dan mementingkan kebaikan masyarakat apabila mereka membangkitkan isu dengannya.

Lee kini merupakan pengarah Komunikasi Kebangsaan PKR PKR sejak 2022.

Sebelum ini, beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam PKR termasuk, bendahari agung PKR (2018 - 2022), ketua Penerangan Nasional Sayap Pemuda PKR (2014-2018) dan naib ketua Pemuda PKR Bahagian Petaling Jaya Utara (2008-2012).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik Pejabat Ketua Pembangkang dari 2008 hingga 2011. – 5 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen