WHO saran rakyat Malaysia jalani ujian kendiri Covid-19 sebelum balik kampung


WHO nasihatkan orang ramai guna pensanitasi tangan dan memakai pelitup muka sebagai perlindungan bagi membendung wabak Covid-19 daripada merebak kepada warga emas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati rakyat Malaysia untuk menjalankan ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya.

Selain itu, pertubuhan itu juga menasihatkan agar menggunakan pensanitasi tangan dan memakai pelitup muka sebagai perlindungan bagi membendung wabak Covid-19 daripada merebak kepada warga emas.

Perkara itu dinyatakan menerusi ciapan pertubuhan itu menerusi akaun Twitter @WHOMalaysia yang turut ditweet semula oleh Twitter rasmi Kementerian Kesihatan @KKMPutrajaya.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 22 April.

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital Kementerian Kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk dilaporkan meningkat sebanyak 26.2% pada minggu epidemiologi ke-15 dari 9 hingga 15 April berbanding minggu sebelumnya.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan kebanyakan pesakit adalah kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi. – Bernama, 20 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen