Hampir 26 juta orang terjejas akibat gempa Turkiye-Syria


Gempa bumi dan gegaran susulannya mengorbankan hampir 26,000 orang di Turkiye dan Syria. – Gambar AFP, 12 Februari, 2023.

HAMPIR 26 juta orang terjejas dengan gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu, memberi amaran berpuluh-puluh hospital juga rosak.

Ketika jumlah kematian akibat gempa meningkat melebihi 25,000, agensi kesihatan PBB itu melancarkan rayuan kilat pada Sabtu meminta AS$42.8 juta untuk membantunya menangani keperluan kesihatan segera dan semakin mendesak. 

WHO mengeluarkan AS$16 juta daripada dana kecemasannya, sebelum ini berkata sehingga 23 juta orang mungkin terjejas.

Tetapi pada Sabtu, jumlah itu meningkat kepada hampir 26 juta, dengan 15 juta terjejas di Turkiye dan hampir 11 juta di Syria yang dilanda perang.

Antaranya, lebih 5 juta orang dianggap paling terdedah, termasuk hampir 350,000 warga emas dan lebih 1.4 juta kanak-kanak.

WHO menganggarkan di Turkiye, di mana lebih 4,000 bangunan runtuh dalam gempa bumi, sebanyak 15 hospital mengalami kerosakan sebahagian atau teruk.

Di Syria, di mana sistem penjagaan kesihatan dimusnahkan oleh perang saudara selama 12 tahun, sekurang-kurangnya 20 kemudahan kesihatan di seluruh barat laut yang terjejas teruk, termasuk empat hospital mengalami kerosakan.

Ini menjadikan ia lebih sukar untuk membantu puluhan ribu orang yang cedera dalam bencana itu.

Ketika perkhidmatan perubatan kecemasan dibanjiri pesakit trauma, perkhidmatan kesihatan penting turut terjejas teruk, kata WHO memberi amaran.

Agensi PBB berkata terdapat keperluan rawatan trauma segera, pemulihan selepas trauma, ubat-ubatan penting, pencegahan dan kawalan untuk mencegah wabak penyakit dan akses kepada sokongan kesihatan mental.

“Matlamat WHO adalah untuk menyelamatkan nyawa sejurus selepas bencana itu, untuk meminimumkan kesan kesihatan termasuk kesihatan mental, dan memulihkan perkhidmatan kesihatan penting dengan pantas merentas semua populasi yang terjejas oleh gempa bumi.”

Agensi itu menambah ia menerbangkan 37 tan metrik bekalan pembedahan kecemasan dan trauma ke Turkiye pada Khamis, manakala 35 tan metrik tiba di Syria pada Jumaat.

“Bekalan menyelamatkan nyawa ini akan digunakan untuk merawat dan menjaga 100,000 orang serta untuk 120,000 pembedahan segera di kedua-dua negara,” katanya.

Penerbangan ketiga yang membawa muatan serupa dijadualkan tiba di Syria pada Isnin.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang tiba di Aleppo pada Sabtu, menulis di Twitter berasa sedih melihat keadaan dihadapi oleh mangsa yang terselamat dengan cuaca sejuk dan akses sangat terhad kepada tempat tinggal, makanan, air dan rawatan perubatan. – AFP, 12 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen