KEPUTUSAN melanjutkan perjanjian konsesi dengan Pharmaniaga Bhd selama 10 tahun lagi merupakan tamparan besar kepada pembaharuan penjagaan kesihatan yang amat diperlukan, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.
Ketua pegawai eksekutifnya Azrul Mohd Khalib berkata walaupun keputusan itu menjadi kemenangan besar bagi syarikat dan berita baik kepada para pemegang sahamnya, ia membuktikan sistem kesihatan Malaysia rapuh, berisiko dan sangat bergantung kepada satu syarikat.
“Ia juga bercanggah dan menyangkal penafian sebelum ini yang tiada pergantungan sedemikian. Amalan konsesi eksklusif kerajaan yang memberikan sesebuah syarikat seperti Pharmaniaga dan GLC lain, cengkaman dominan, dan pengaruh besar ke atas sebahagian besar sistem penjagaan kesihatan kita, termasuk perkhidmatan hospital mewujudkan pergantungan berlebihan yang tidak sihat dengan kepercayaan syarikat-syarikat ini akan dianggap sangat diperlukan dan menjadi ‘terlalu besar untuk gagal’. Keputusan ini mengesahkan persepsi itu,” kata Azrul.
Beliau menambah keputusan kerajaan juga akan memberi isyarat kepada semua pemain farmaseutikal yang tiada gunanya membina, melabur, dan mengembangkan perniagaannya di sini untuk bersaing bagi penyediaan ubat-ubatan di bawah perjanjian konsesi kerana Pharmaniaga secara praktikal “menguasainya” selama sedekad lagi.
“Ini adalah amalan perniagaan yang buruk, melemahkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan rakyat negara ini daripada faedah persaingan sihat, mengurangkan kepelbagaian penyedia, dan mengekalkan kewujudan ejen tender sebagai orang tengah yang tidak perlu meningkatkan kos ubat-ubatan,” tambahnya. – 19 April, 2023.
Berita penuh di sini
Komen