Persatuan gesa tambah peruntukan kesihatan awam dalam Belanjawan 2023


Hasil tinjauan CodeBlue baru-baru ini mendapati pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan termasuk jururawat, doktor, pakar dan pembantu perubatan tidak dibayar dengan gaji setimpal, beban kerja terlalu banyak, lesu upaya serta bekerja di fasiliti yang semakin sesak dengan pesakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari 2023.

PERUNTUKAN untuk kesihatan di bawah Belanjawan 2023 perlu ditambah bagi menangani pelbagai krisis berpanjangan melibatkan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

Ketua eksekutifnya Azrul Mohd Khalib juga menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas, mengambil kakitangan kesihatan luar negara bagi menangani isu berkenaan.

“Hasil tinjauan CodeBlue yang dijalankan ke atas pekerja penjagaan kesihatan awam mengesahkan lagi dapatan kami sebelum ini.

“Golongan profesional termasuk jururawat, doktor, pakar dan pembantu perubatan tidak dibayar dengan gaji setimpal, beban kerja terlalu banyak, lesu upaya serta bekerja di fasiliti yang semakin sesak dengan pesakit. Ini telah diterangkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018,” katanya dalam kenyataan.

Azrul berkata isu membabitkan pekerja di barisan hadapan penjagaan kesihatan awam harus diberi perhatian kerana mereka telah memberikan komitmen luar biasa selain daya tahan yang tinggi.

“Namun pandangan mereka tidak dipandang serius. Banyak penyelesaian yang dicadangkan baru-baru ini berkenaan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dilihat hanya langkah sementara. Banyak yang telah cuba dilaksanakan, diuji dan tetapi gagal kerana tidak cukup kakitangan,” tambahnya.

Menurut Azrul, Jabatan Kecemasan dan Trauma diibaratkan seperti berada dalam zon perang lama sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Keadaan yang diburukkan lagi dengan dengan pandemik semakin melemahkan sistem penjagaan kesihatan negara.

Katanya, beban kerja yang berat, lesu upaya, kemurungan dan trauma menyebabkan ramai kakitangan mengambil keputusan untuk berhenti kerja, sekali gus mengakibatkan kekurangan tenaga kerja yang akhirnya menambah tekanan ke atas pekerja sedia ada.

“Di beberapa hospital ketika ini ramai pesakit terpaksa menunggu antara 24 jam sehingga beberapa hari kerana tidak cukup katil.

“Pekerja penjagaan kesihatan awam masih bekerja sehingga 30 jam. Ramai, terutamanya doktor pelatih dan pegawai perubatan pulang ke rumah dalam keadaan tertekan dan keletihan. 

“Ada yang terlibat dalam kemalangan. Malangnya, ada yang kehilangan nyawa,” jelas Azrul. – 4 Februari 2023. 

Berita penuh di sini
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen