Belanjawan 2023 perlu fokus kemas kini sistem penjagaan kesihatan, kata organisasi


Raevathi Supramaniam

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata lima bidang yang memerlukan pengukuhan ialah pembiayaan penjagaan kesihatan, penyakit tidak berjangkit, kesediaan dan tindak balas kecemasan kesihatan awam, kesihatan reproduktif dan penjagaan warga emas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

PUTRAJAYA perlu mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam dengan mengutamakan lima kunci utama dalam Belanjawan 2023, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

Organisasi penyelidikan dan advokasi dasar awam bebas itu berkata lima bidang yang memerlukan pengukuhan ialah pembiayaan penjagaan kesihatan, penyakit tidak berjangkit (NCD), kesediaan dan tindak balas kecemasan kesihatan awam, kesihatan reproduktif dan penjagaan warga emas.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutifnya Azrul Mohd Khalid berkata sudah lama hal berkait penjagaan kesihatan tergantung oleh isu kemampuan, berbanding memenuhi keperluan penduduk dan ekonomi yang semakin meningkat serta peralihan daripada pendapatan sederhana atas kepada pendapatan tinggi.

“Kami sarankan Putrajaya hapuskan caj RM1 dan RM5 untuk rawatan pesakit luar dan pakar di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata caj itu mengelirukan orang ramai untuk berfikir yang penjagaan kesihatan awam adalah lebih murah sedangkan ia sepatutnya bertindak sebagai penghalang kepada akses dan harus dibatalkan sama sekali.

Dengan lebih daripada 4 juta orang di Malaysia menghidap diabetes, Galen mengesyorkan subsidi dikurangkan untuk rawatan diabetes bagi membolehkan orang ramai bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka.

“Bagi setiap ringgit yang dibelanjakan untuk tiga NCD, 45 sen untuk diabetes, 41 sen untuk penyakit kardiovaskular dan 14 sen untuk kanser.

“Kami cadang kurangkan subsidi untuk rawatan diabetes dan perkenalkan pembayaran bersama sehingga 30 peratus daripada kos sebenar.

“Orang ramai perlu ambil berat dan jaga kesihatan mereka sendiri. Ia juga akan tolong kurangkan pembaziran ubat bersubsidi,” kata Azrul.

Terdapat juga keperluan untuk memperkukuh bahagian kawalan penyakit KKM dengan melabur dalam melatih lebih ramai ahli epidemiologi, pakar kesihatan awam, pakar penyakit berjangkit, dan meningkatkan kapasiti makmal diagnostik, katanya.

“Kita perlu tingkatkan kapasiti bahagian kawalan penyakit KKM untuk mencegah, mengesan dan mengurus wabak masa depan.”

Pertambahan peruntukan juga perlu diberikan bagi meningkatkan akses kepada kontraseptif bagi wanita yang sudah berkahwin dan belum berkahwin agar menghentikan kehamilan remaja yang tidak diingini, katanya.

Memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang semakin tua, Azrul berkata kerajaan perlu mengutamakan golongan ini dalam Belanjawan 2023.

“Kemudahan penjagaan warga tua dan jangka panjang serta perkhidmatan penting yang berkaitan kekal terhad, kebanyakannya terhad di pusat bandar, dan tertumpu kepada penyedia swasta.

“Kerajaan perlu segera jadikan penambahbaikan penjagaan warga emas dan jangka panjang sebagai keutamaan untuk ditangani dalam Belanjawan 2023 akan datang.

“Daripada bergantung kepada kelayakan yang tidak dibiayai dan tidak mampan, mungkin perlu perkenal skim insurans kebangsaan bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas khusus untuk membiayai penjagaan warga emas dan jangka panjang. Pendekatan ad-hoc tidak akan mencukupi atau mampan,” tambah Azrul.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober. – 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen