Laporan tragedi Double Six timbul pelbagai persoalan, kata Jeffrey Kitingan


Pesawat yang terhempas pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan 11 orang termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens. – Gambar Wikipedia, 17 April, 2023.

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata lebih banyak persoalan timbul susulan pendedahan tragedi Double Six 47 tahun lalu baru-baru ini.

Kitingan berkata kerajaan mesti menjelaskan kenapa laporan itu dirahsiakan sekian lama jika tiada sabotaj terlibat dalam nahas pesawat 6 Jun 1976 yang mengorbankan 11 orang termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens.

Putrajaya akhirnya mengeluarkan laporan pada Rabu lalu yang mengatakan tiada unsur sabotaj atau kegagalan enjin tetapi menimbulkan keraguan terhadap kemahiran dan kecergasan juruterbang Kapten Gandhi J. Nathan untuk membawa pesawat.

Laporan itu juga mengatakan kemungkinan punca nahas ialah pesawat GAF Nomad terlebih muatan di bahagian belakang.

Kitingan berkata laporan itu meletakkan kesalahan ke atas juruterbang.

“Tetapi juruterbang sudah meninggal dunia, bagaimana dia hendak menjawab atau mempertahankan diri sama ada laporan itu tepat atau tidak?

“Kami sudah lama menunggu laporan itu, sudah lebih 45 tahun. Apabila ia dikeluarkan dan dinyahklasifikasikan, mereka kata tiada unsur sabotaj.

“Tapi kenapa tunggu lama-lama baru lepaskan? Adakah kerana kamu menyembunyikan sesuatu?” beliau dipetik sebagai berkata dalam New Straits Times hari ini.

Kitingan yang juga ahli Parlimen Keningau berkata beliau tidak berminat untuk membuat spekulasi mengenai nahas itu tetapi mahu jawapan kepada beberapa soalan.

Pada hari kejadian menteri kewangan persekutuan ketika itu dan pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah berada di Labuan bersama Fuad untuk membincangkan perjanjian minyak dan gas.

Bagaimanapun dilaporkan Stephens enggan menandatangani perjanjian itu.

“Menerusi perkongsian Razaleigh beliau duduk bersama Stephens dan yang lain dalam pesawat (menghala ke Kota Kinabalu dari Labuan).

“Tiba-tiba seorang lagi iaitu (presiden Berjaya) Harris Salleh meminta Razaleigh menaiki pesawat lain untuk melawat penternakan lembu (di pulau Banggi) tetapi ketika itu ladang itu sebenarnya masih belum wujud. Kebetulan pula ketua menteri Sarawak ketika itu Abdul Rahman Ya’kub turut dibawa ke pesawat lain.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi tetapi mereka yang terselamat menandatangani perjanjian minyak yang sama dengan menyerahkan (hak) minyak kepada Petronas.

“Saya juga ingin bertanya mengapa tidak ada rasa hormat diberikan kepada ahli keluarga kerana mereka meminta tandatangan semasa tempoh berkabung? Kenapa mereka tidak sabar, minyak tidak akan ke mana-mana?” kata Kitingan.

Nahas udara itu mengorbankan Stephens, anaknya Johari dan pengawal peribadi Koperal Said Muhammad; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Peter Mojuntin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Chong Thien Vun, Menteri Kewangan Salleh Sulong dan setiausaha tetapnya Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Dr Syed Hussein Wafa.

Turut terbunuh ialah setiausaha sulit Razaleigh Ishak Atan.

“Saya bersetuju dengan pendapat Mojuntin (anak sulung Donald) bahawa pendedahan laporan itu menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Saya sendiri mempunyai banyak soalan. Tetapi, siapa yang akan menjawabnya?,” katanya. – 17 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen