Pesawat kargo tentera Rusia terhempas dekat Moscow


Sebuah pesawat kargo Rusia jenis Ilyushin Il-76 dilaporkan terhempas di tenggara Moscow, mengorbankan empat nyawa selain mencederakan empat yang lain, pada Jumaat. – Gambar EPA, 23 Jun, 2022.

SEBUAH pesawat kargo tentera Rusia terhempas di Ryazan, tenggara Moscow pada Jumaat, mengorbankan empat orang dan mencederakan lima yang lain, kata pihak berkuasa.

Pesawat itu dalam penerbangan latihan tanpa kargo apabila anak kapal memutuskan untuk mendarat kerana kerosakan enjin, dan ada bahagian yang musnah apabila ia terhempas, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan seperti dipetik agensi berita tempatan.

“Menurut maklumat awal, empat orang maut akibat nahas kapal terbang di kawasan lebuh raya Mikhailovsky di bandar Ryazan,” kata unit krisis kerajaan wilayah dalam satu kenyataan, seperti dipetik agensi berita negara TASS.

Kementerian pertahanan berkata kru yang cedera telah dibawa ke hospital.

Pesawat itu adalah pesawat pengangkutan tentera Ilyushin Il-76, yang pertama kali dikeluarkan di Kesatuan Soviet pada akhir 1960-an.

Pesawat itu terhempas ke padang berhampiran berdekatan bangunan kediaman sebelah lebuh raya, menyebabkan kebakaran yang dengan cepat berjaya dipadamkan, lapor TASS.

Seorang saksi yang dipetik agensi Ria Novosti berkata nahas berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi waktu tempatan.

Tiada butiran diberikan mengenai ke mana pesawat itu menuju ketika ia terhempas di Ryazan, sekitar 200 kilometer tenggara ibu negara Rusia itu.

Beberapa pesawat tentera telah terhempas bulan ini berhampiran sempadan Rusia dengan Ukraine, di mana Moscow sedang bertempur sengit sejak menceroboh pada akhir Februari. – AFP, 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen