PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa orang ramai supaya berhati-hati elak dijangkiti Covid-19 semasa musim perayaan.
Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit komorbid perlu dilindungi.
“Virus itu tidak mengubah cara ia merebak dan ia masih boleh menyebabkan simptom teruk atau simptom Covid-19 yang berpanjangan.
“Walaupun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah ringan, ada yang mengalami simptom teruk atau berpanjangan yang mungkin memerlukan kemasukan ke hospital dan pemulihan,” kata Dr Muruga dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia mungkin berada di peringkat pasca pandemik di mana Covid-19 terkawal tetapi masih ada keperluan untuk memastikan mereka yang berisiko tinggi terus dilindungi.
“Mereka yang mempunyai simptom tanpa mengira umur harus menjalani ujian dan diasingkan untuk tempoh yang ditetapkan jika keputusan ujian positif.
“Adalah bijak untuk tidak menolak gejala seperti influenza sebagai selesema biasa. Dapatkan ujian untuk Covid-19,” katanya.
Dr Muruga juga berkata topeng pelitup muka mesti dipakai di hadapan warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi dan ketika berada di ruang sesak dengan pengudaraan yang lemah.
Beliau berkata pengukuhan sistem imun juga penting dan perlu dititikberatkan.
“Mengamalkan pemakanan sihat, mendapat rehat yang mencukupi setiap hari dan bersenam akan membantu meningkatkan sistem imun yang merupakan pertahanan semula jadi tubuh terhadap jangkitan,” katanya.
Menjelang musim perayaan Malaysia menyaksikan peningkatan dalam jangkitan harian.
Sepanjang minggu lalu kes harian mencatatkan sekitar 700 kes setiap hari, meningkat daripada julat standard antara 200 hingga 300 setiap hari. – 12 April, 2023.
Komen