KERAJAAN mesti membayar pampasan kepada pegawai perubatan atas kesulitan yang disebabkan oleh penempatan kerja pada saat-saat akhir, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata adalah tidak munasabah untuk mengharapkan pegawai perubatan melaporkan diri untuk bertugas di negeri lain dalam tempoh yang singkat.
“Kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan memberi pampasan kepada pegawai perubatan.
“Kami berharap JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan KKM (Kementerian Kesihatan) akan menyelesaikan isu ini dan memperbaiki jabatan yang bertanggungjawab terhadap perancangan yang tidak baik,” kata Dr Muruga dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pengaturan untuk berpindah ke negeri lain memerlukan notis awal untuk menguruskan komitmen kewangan seperti bayaran sewa dan bil lain.
“Sekiranya mereka ibu bapa, mereka mungkin perlu membawa anak-anak mereka bersama dan mencari pusat jagaan atau mendaftarkan mereka di sekolah baharu. KKM dan JPA mesti memandang serius isu ini dan memastikan kejadian seperti itu tidak berulang,” katanya.
Semalam, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata penempatan pada saat-saat akhir pegawai perubatan tidak seharusnya berlaku kerana penempatan sedemikian perlu dirancang lebih awal.
Beliau berkata melainkan ada sebab yang sah, seperti kecemasan atau tindakan tatatertib, pegawai perubatan perlu diberi notis yang mencukupi mengenai penempatan mereka.
“Semua ini perlu dirancang lebih awal, jadi kenapa perlu dilakukan pada saat akhir? JPA akan mengetahui daripada pengalaman mereka sendiri bahawa anda tidak boleh memindahkan penjawat kerajaan dalam tempoh 24 jam. Ia tidak masuk akal,” kata Lee.
“JPA dan kementerian kesihatan harus berkomunikasi dan memastikan perkara ini tidak berlaku.” – 1 Februari, 2023.
Komen