Pakar perubatan mahu PM utamakan rakyat berbanding pilihan raya


Ravin Palanisamy

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata PRU semasa musim banjir mendedahkan penduduk kepada isu kesihatan yang juga boleh membawa maut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu membuat keputusan bijak mengenai pilihan raya umum semasa musim banjir, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden persatuan itu yang baru dipilih Dr Muruga Raj Rajathurai menggesa perdana menteri supaya mengambil hati rakyat dan tidak membahayakan kesihatan mereka, sambil menambah politik tidak sepatutnya mengatasi kesihatan rakyat.

Muruga Raj dalam satu kenyataan berkata jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir, ia mungkin mendedahkan penduduk kepada beberapa isu kesihatan, yang didakwanya juga boleh membawa kepada kematian.

“Kami bimbang sekiranya banjir berlaku dalam tempoh pilihan raya umum, ramai rakyat Malaysia mungkin terdedah kepada risiko penyakit, kecederaan dan kematian akibat banjir,” katanya.

“Bukan sahaja risiko kecederaan dan lemas, banjir juga boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, disentri dan keracunan makanan dengan simptomnya termasuk cirit-birit, muntah, sakit perut, demam atau sakit kepala.

“Terdapat juga risiko leptospirosis jika seseorang itu terdedah kepada bakteria leptospira yang terdapat dalam air kencing mamalia berkaki empat seperti tikus, anjing, kucing, lembu dan sebagainya.

“Tanpa rawatan, leptospirosis boleh membawa kepada masalah kesihatan serius seperti kerosakan buah pinggang, meningitis (keradangan membran di sekeliling otak dan saraf tunjang), kegagalan hati, gangguan pernafasan, dan juga kematian,” tambah beliau.

Beliau berkata isu kesihatan lain akibat pendedahan kepada banjir termasuk konjunktivitis, kerengsaan dan jangkitan kulit.

Awal hari ini, Ismail Sabri berkata beliau diperkenankan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada akan membentangkan tarikh pembubaran Parlimen.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata Malaysia akan mengadakan pilihan raya umum sebaik sahaja Ismail Sabri mengadap Agong untuk membubarkan Parlimen.

Muruga Raj berkata yang paling dibimbangi adalah kumpulan rentan seperti orang kurang upaya, warga emas dan wanita hamil yang mungkin terdedah kepada bahaya ini jika mereka mengharung banjir bagi menunaikan hak demokrasi untuk mengundi.

Katanya, satu lagi kebimbangan utama ialah isu kekurangan bekalan ubat-ubatan tertentu yang mendapat permintaan tinggi.

“Kebanyakan ubat kekurangan bekalan akan diperlukan untuk merawat beberapa penyakit ini.

“Perkara terakhir yang kita mahu ialah krisis kesihatan pada masa ubat-ubatan yang paling diperlukan kekurangan bekalan,” katanya.

Musim tengkujuh di Malaysia biasanya bermula sekitar akhir November dan boleh berlarutan sehingga Mac.

Tahun lepas, lapan daripada 11 negeri di Semenanjung Malaysia dilanda banjir pada Disember, ketika negara mencatatkan hujan paling lebat dalam tempoh 100 tahun, kata pegawai. – 4 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen