Pejuang belum selesai


SEMENJAK permohonan Pejuang menyertai Perikatan Nasional(PN) diumum dan setelah ditolak, pelbagai reaksi timbul. 

Bukan sahaja daripada Bersatu atau PAS, tapi juga oleh penganalisa dan pengamal sains politik.

Rata-rata komentar menyatakan Pejuang tiada nilai tambah. Ada juga maklum Pejuang kecil, picisan, nyamuk dan pemecah undi. 
Ramai juga kata Pejuang tiada sinar tanpa permatanya negarawan ulung Dr Mahathir Mohamad.

Paling epik adalah saranan beberapa pihak elok Pejuang dibubar dan ahli-ahlinya memasuki parti-parti Melayu lain dalam PN.

Penganalisa dan mereka-mereka yang membuat saranan perlu cermin diri sendiri. Perlu berkomentar secara ilmiah bukan sahaja tangkap muat.

Tahukah mereka satu-satunya kelebihan yang parti-parti politik ada di Malaysia ini adalah pendaftaran sebagai parti politik. 
Ia bukan proses yang mudah. Parti-parti lain mungkin tidak memahami apatah lagi penganalisa politik yang saya gelar “armchair critics”. 

Tahukah mereka Pejuang ke mahkamah untuk didaftarkan sebagai parti politik di Malaysia. 

Cuba semak mana lagi parti sebegitu rupa di Malaysia sehingga peroleh perintah mandamus gesa Menteri Dalam Negeri lulus parti. 

Ada juga kata Pejuang kecil dan pemecah undi. Ya, Pejuang baru belum cukup tiga tahun, tetapi tidakkah Pejuang matang dalam isu pecah undi ini? 

Bukankah Pejuang dari sebelum PRU15 lagi mulakan langkah untuk satukan semua parti gabungan Melayu atas tiket Melayu berwibawa serta tolak rasuah dan kleptokrat? Tapi dingin sambutan dari parti-parti “gergasi Melayu lain”. 

Hanya fikir  pangkat dan kuasa? Bukankah keengganan bergabung pecah undi Melayu?

Kerana itu gabungan penting. Kerana itu penyatuan penting. Risau untuk bergabung kerana kedudukan kerusi masing-masing? Kalau begitu, jangan berani laung kononnya hendak menjaga hak orang Melayu kerana hak orang Melayu dan juga hak-hak bangsa serta agama lain dalam negara hanya terjamin oleh gabungan yang besar, kuat dan stabil. 

Apabila ada unsur mainan politik kedudukan dan kerusi serta kepentingan peribadi maka jadilah seperti PH 1.0, PN bawah PM8 dan PM 9 serta PH 2.0 bawah PMX. Langsung tidak stabil.

Ada pula berkata tinggalkan Pejuang sertai parti lain. Kalau begitu tinggalkan Bersatu dan PAS sertai PN. Beranikah? 

Seperti dikatakan diatas, pendaftaran dan kewujudan sebagai parti itu penting kerana ia adalah hak kebebasan berpersatuan sepertimana digariskan oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Negara.

Biar masa menentukan. Biar Rakyat juga menilai. Biar juga tekanan kes-kes yang melanda hampir  kesemua parti-parti politik ‘elit’ negara ini berlaku. 

Kerana bukankah jelas sehingga kini, dan dengan izinNya, Pejuang masih lagi bersih putih berseri bak benderanya yang berkibar di setiap pelosok begara? 

Rakyat akan menilai, dan kita akan biarkan Rakyat menilai.

Malang sekali masih ada yang lupa, mereka juga pernah bertanding dalam pilihan raya, mereka juga hilang deposit walau ketua negeri, mereka juga pernah tiada wakil dalam Dewan Rakyat, mereka juga pernah korban prinsip dan janji mandat rakyat demi kuasa, pangkat dan kedudukan. 

Ya, mungkin itulah cara politik mereka. Mereka lupa asal usul permulaan mereka.

Yang pasti, Pejuang bukan begitu. Bagi kami, Pejuang belum selesai. – 31 Mac, 2023.

* Rafique Rashid, Ketua Penerangan Pejuang



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen