Mencatur tarikh sesuai untuk pilihan raya negeri 


G Manimaran

Pilihan raya negeri keenam-enam negeri terbabit sudah pasti akan menjadi satu ujian getir bagi setiap parti yang bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.

DI sebalik perkembangan tindakan disiplin penggantungan dan pemecatan melibatkan lebih 50 pemimpin dan ahli Umno pelbagai peringkat pada Jumaat lalu, laporan media menyebut PAS akan menghubungi pimpinan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) dalam waktu terdekat untuk membincangkan tarikh pilihan raya negeri. 

Menurut Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, pertemuan bersama Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, akan dilakukan pada bila-bila masa.

Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata setakat ini pihaknya belum memutuskan tarikh pilihan raya negeri sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain. 

Rakan sejawatannya di Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum akhir Mac. 

Kenyataan Samsuri itu nampak menarik kerana sebelum ini, Presidennya Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh pilihan raya bagi tiga negeri di bawah pentadbiran PAS-Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah. 

Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH sama ada membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

Aminuddin sebelum ini memberitahu media semua pihak terlibat perlu memastikan pilihan raya nanti berjalan dengan teratur agar rakyat dapat turun mengundi di DUN masing-masing bagi dalam meraikan demokrasi. 

Keenam-enam negeri terbabit tidak mengadakan pilihan raya umum negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas tidak bersetuju dengan kerajaan pusat melangsungkan PRU15 ketika musim tengkujuh dan tidak mahu membebankan para pengundi dengan terpaksa mengharungi banjir.

PAS komponen PN memutuskan pendekatan politik ini ketika PH dan Umno, rakan gabungan kerajaan perpaduan, mengorak langkah untuk menjalin kerjasama politik untuk menghadapi pilihan raya negeri. 

Bermakna akan ada kerjasama dalam menentukan kerusi yang bakal bertanding dan kedua-dua pihak akan bertanding dengan ‘suara’ sama dalam menghadapi saingan PAS-PN.

Dari segi percaturan politik pendekatan untuk berbincang bersama adalah langkah yang sesuai dengan perkembangan masa bagi menghadapi persaingan sengit yang bakal disaksikan. 

Pilihan raya negeri keenam-enam negeri terbabit sudah pasti akan menjadi satu ujian getir bagi setiap parti yang bertanding. Malah ia juga akan membawa satu landskap baharu selepas yang disaksikan November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggar akan membelanjakan sekitar RM400 juta hingga RM500 juta untuk enam pilihan raya negeri kali ini.

Anggaran ini bersandarkan kepada kos pelaksanaan pilihan raya negeri Sabah pada September 2020 sebanyak RM130 juta, Melaka (RM45 juta), Sarawak (RM149 juta) dan Johor menelan RM96 juta. 

Lebih RM420 juta dibelanjakan untuk kesemua empat pilihan raya negeri terbabit.

Seperti ketika PRU15, PAS dipercayai akan menggunakan logo sendiri di Kelantan dan Terengganu. 

Meskipun sokongan kepada PN dilihat meningkat dan memperoleh kejayaan memberangsangkan November lalu, manakala Umno pula berada dalam krisis dalaman terbaharu ekoran tindakan pembersihan besar-besaran yang sedang dilakukan, strategi khusus diperlukan oleh kesemua parti yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri di enam negeri.

Mandat semasa kesemua DUN bagi enam negeri terbabit akan berakhir antara 26 Jun dan 1 Ogos ini. 

Berdasarkan kepada tarikh sidang pertama selepas PRU14 pada Mei 2018, Dewan Negeri Selangor mempunyai masa sehingga 26 Jun ini, Negeri Sembilan (2 Julai), Pulau Pinang (1 Ogos), Kedah (4 Julai), Kelantan (25 Julai) dan Terengganu (29 Julai) untuk tujuan pembubaran.

Satu perkara yang pastinya akan diambil kira adalah kehadiran musim perayaan menjelang pertengahan tahun ini. 

Hari Raya Aidiladha dijangka akan disambut pada 29 Jun. Jemaah haji, seramai 31,600 orang, pula dijangka akan berlepas ke Mekah menjelang penghujung Mei. Hari Raya Aidilfitri akan diraikan pada minggu ketiga bulan April.

Tarikh pengundian perlu diadakan menjelang minggu kedua bulan Mei bagi membolehkan tiada sebarang situasi tidak selesa atau halangan apabila perayaan-perayaan besar disambut termasuk kepada mereka yang menunaikan haji pada kali ini.

Nampak gaya kesemua parti dan ketua kerajaan negeri terbabit akan bersetuju untuk menetapkan satu tarikh yang sesuai mengadakan pilihan raya umum negeri. 

Mengambil kira perkembangan semasa, sudah amat jelas, pembubaran tidak akan dilakukan sebelum Ramadan. 

Untuk mengadakan pilihan raya sebelum bulan Ramadan, pembubaran perlu dibuat dalam beberapa minggu ini – menjelang akhir bulan depan, sekali gus membolehkan SPR melangsungkan pilihan raya dalam tempoh empat hingga lima minggu akan datang sebelum Ramadan.

Sekiranya kemungkinan pertama itu diketepikan, bermakna tingkap seterusnya ialah mengadakan pilihan raya pada bulan Mei iaitu sejurus selepas sambutan Aidilfitri. 

Untuk itu pembubaran perlu dibuat seminggu sebelum atau selepas Aidilfitri memandangkan jemaah haji dijadual akan berlepas ke tanah suci mulai minggu ketiga dan keempat bulan Mei.

Jika tingkap bulan Mei tidak menjadi kenyataan bermakna kesemua Dewan Negeri Selangor perlu berhadapan dengan pembubaran automatik manakala negeri-negeri lain membubarkan DUN masing-masing selepas pembubaran DUN Selangor. 

Ini membolehkan pilihan raya umum negeri dilangsungkan pada bulan Ogos, yang secara kebetulan akan membawa kita ke sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketika adanya tiga opsyen dalam soal penetapan bersama tarikh pilihan raya umum bagi enam negeri, Mei dilihat sebagai yang terbaik lagi praktikal demi keselesaan dan kemudahan semua pemegang taruh. 

Malah ia juga penting bagi mengelakkan sebarang tidak kemungkinan daripada segi gegaran isu yang boleh menjejaskan peluang satu-satu parti atau gabungan yang mahu bertanding.

Sekiranya kesemua negeri bersetuju untuk menetapkan satu tarikh ia akan membawa kelebihan kepada parti masing-masing, terutama daripada segi percaturan politik, dengan masing-masing mempunyai keunikan di negeri yang mereka kuasai. 

Malah ia juga akan memperlihatkan kesepakatan dan kematangan dalam penetapan tarikh pilihan raya yang tidak disaksikan pada November lalu. 

Sementara parti-parti politik terbabit akan menggunakan kebijaksanaan terbaik dalam mencapai persetujuan, penetapan bersama tarikh juga baik untuk negara dalam jangka panjang. – 30 Januari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen