UiTM jangan sekat suara mahasiswa


SAYA merujuk kepada pemakluman yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkaitan dengan penyertaan mahasiswa dalam sebarang program yang tidak mempunyai kelulusan daripada pihak universiti. 

Saya menghormati autoriti universiti untuk menentukan program yang boleh diadakan di dalam kampus untuk para mahasiswa mereka. 

Akan tetapi program seperti Jelajah Mansuh Auku dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma adalah program yang memperjuangkan hak mahasiswa sebagai entiti mahasiswa untuk berpersatuan dan menguruskan kehidupan mereka di dalam kampus serta libat urus serta pentadbiran universiti dan juga hak mahasiswa sebagai tenaga buruh sementara di dalam pasaran buruh negara. 

Sebagai sebuah gedung ilmu, UiTM sepatutnya mengalu-alukan apa sahaja program, dialog atau sesi yang boleh membantu mahasiswa mereka cakna akan isu yang berkaitan dengan diri mereka. 

Adakah dengan larangan sebegini UiTM sebenarnya menyokong setiap dasar drakonian lapuk yang menindas mahasiswa dengan tidak membenarkan program yang boleh meningkatkan kesedaran mahasiswa mereka diadakan di ruangan kampus mereka?

Apakah relevan pihak UiTM sehingga pihak pentadbiran terpaksa mengeluarkan pemakluman yang berbaur intimidasi dan mengugut mahasiswa? 

Mengapa UiTM seperti beria ingin menutup mulut dan minda mahasiswa-mahasiswa mereka? Apakah yang ditakutkan oleh UiTM?

Sekatan terhadap pemikiran dan suara mahasiswa adalah satu penindasan. 

Oleh sebab itu akta seperti Auku dan Akta 174 perlu dimansuhkan dan disemak semula serta dipinda untuk memastikan akta ini bersifat progresif sejajar dengan peredaran zaman dan boleh membangunkan jati diri serta membina sahsiah mahasiswa. 

UiTM sebagai satu institusi pengajian tinggi sepatutnya tidak boleh menyekat pemikiran, idealogi serta aspirasi mahasiswa mereka. 

Saya menyelar tindakan UiTM ini dan saya menyifatkan tindakan ini sebagai satu sekatan kepada hak mahasiswa. 
Pentadbiran UiTM perlu berhenti menyekat  hak serta suara mahasiswa mereka. UiTM harus berhenti menzalimi mahasiswa mereka dan mengongkong pemikiran mahasiswa mereka. 

Bagi menghasilkan generasi pemimpin yang berkaliber dan berbakat, institusi pengajian tinggi tidak boleh menyekat kebebasan mahasiswa mereka. 

Sekatan sebegini akan merencatkan proses membina seorang pemimpin dan insan yang berkebolehan. 

Oleh itu saya menyeru UiTM agar berhenti menyekat kebebasan mahasiswa mereka dan sebaliknya menyediakan platform yang baik untuk mahasiswa mereka mengekpresikan diri serta pandangan mereka.

* Young Syefura Othman merupakan ahli Parlimen Bentong dan Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen