PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) meminta penjelasan siapa lebih berkuasa dalam soal kebenaran tayangan filem, kerajaan persekutuan atau negeri, selepas filem “Pulau” yang mendapat kelulusan agensi persekutuan disekat tayangannya di Terengganu oleh kerajaan negeri.
Presiden PFM Panchacharam Nalliah atau Pansha dalam satu kenyataan bertanya, pihak mana yang lebih berkuasa kerana agensi persekutuan meluluskan tayangan Pulau tetapi kerajaan negeri menyekatnya melalui kuasa ke atas pihak berkuasa tempatan.
“Ini juga menunjukkan pertindihan arahan atas kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan Terengganu.
“Adakah Kerajaan Terengganu akan bertanggungjawab atas punca kerugian pendapatan penerbit di Terengganu, disebabkan arahan pengharaman tayangan yang telah dikeluarkan?” tanyanya.
Menurut Pansha, pertembungan kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan ini menjadikan industri perfileman tempatan sebagai mangsa.
Beliau memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi perhatian kepada isu itu ketika industri perfileman sedang berusaha untuk pulih semula selepas teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.
Jelasnya, perkara sama sebelum ini dirujuk kepada Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution namun tidak dapat diselesaikan.
PFM juga katanya tidak menghantar apa-apa rayuan kepada kerajaan Terengganu kerana kurang jelas mengenai dasar dan punca kuasanya untuk mengharamkan tayangan Pulau di negeri itu.
“Yang kami jelas, Kerajaan Terengganu mengutip hasil 25% cukai hiburan melalui pihak berkuasa tempatan daripada setiap penjualan tiket di pawagam,” tambahnya.
Pulau mula ditayangkan di seluruh negara mulai Khamis lepas melalui Skim Wajib Tayang yang mensyaratkan pawagam mesti menayangkan sesebuah filem sepanjang 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Pulau juga mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem, agensi bawah Kementerian Dalam Negeri.
Bagaimanapun, tiga pawagam di Terengganu tidak menayangkan Pulau selepas mendapat arahan larangan melalui sepucuk surat daripada kerajaan negeri.
Surat kerajaan negeri Terengganu kepada pengusaha pawagam, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, tidak menyebut alasan larangan kecuali menyatakan ia keputusan mesyuarat majlis exco kerajaan negeri pada 25 Januari.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri bersetuju penayangan filem tersebut (Pulau) tidak dibenarkan di negeri memandangkan terdapat unsur-unsur yang mendedahkan adegan keterlaluan,” kata surat itu.
Surat kepada Lotus Five Star Cinemas dan Paragon Sdn Bhd di Kuala Terengganu bertarikh 15 Februari sementara surat kepada TGV Cinemas Sdn Bhd di Kemaman bertarikh 9 Februari. – 13 Mac 2023.
Komen