Penerbit filem perlu bebas nyatakan pendapat, kata kumpulan


Treler filem seram tempatan, "Pulau" menerima kecaman pelbagai pihak yang mendakwa ia mengandungi unsur lucah.– Gambar Facebook, 20 Januari, 2023.

ADALAH hipokrit bagi kerajaan untuk menyatakan pujian terhadap artis Malaysia yang berjaya di luar negara, namun mengecam artis tempatan atas usaha kreatif mereka, kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty.

Kumpulan itu mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil baru-baru ini, yang mana beliau menyatakan bahawa treler filem seram tempatan, “Pulau”, tidak sesuai untuk tontonan umum.

Pengarahnya Zaid Malek berkata penerbit filem harus bebas berekspresi dalam filem tanpa campur tangan daripada kerajaan.

“Kami menggesa kerajaan untuk tidak membuli penerbit filem tempatan seperti yang telah dilakukan dalam kes Pulau atau mengenakan sekatan yang berlebihan dan tidak munasabah kepada artis tempatan semata-mata untuk mendapatkan undian daripada segmen konservatif.”

“Hak untuk kebebasan bersuara mesti diletakkan melebihi daripada menjaga perasaan sesetengah segmen masyarakat,” tegas Zaid.

“Pulau”, yang dijadual untuk ditayangkan pada 9 Mac, menerima kecaman pelbagai pihak berikutan penerbitan treler itu. Mereka juga menggesa LPF (Lembaga Penapisan Filem) menyemak semula kelulusan yang diberikan untuk tayangan filem itu.

Semalam, dilaporkan Finas meluluskan tayangan filem seram itu yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Nasir Ibrahim dilaporkan berkata bahawa garis panduan kandungan penerbitan adalah di bawah bidang kuasa LPF.

Menurut Zaid, dengan memfokuskan kepada segmen kecil konservatif, kerajaan berada di laluan bahaya yang akan menyekat hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan.

Tambahnya, seni dan filem tidak dapat dielakkan untuk menimbulkan provokasi dan ia tidak boleh disekat hanya kerana reaksi segelintir orang awam.

“Itulah maksud Perkara 10(1)(a), bahawa produksi tidak popular atau minoriti pun boleh diluahkan di platform awam.

“Kerja seni atau kreatif dalam apa jua bentuk dan medium dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disekat begitu sahaja oleh seorang menteri yang cuba mendapatkan mata politik daripada kumpulan konservatif tertentu.”

“Penapisan seni atau filem berdasarkan pandangan melampau kumpulan tertentu adalah lebih berbahaya daripada yang kelihatan, kerana ia akhirnya boleh membawa kepada pemadaman sejarah dan budaya,” tambahnya. – 20 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen