2 beradik Pakistan dibebaskan dari Guantanamo, dihantar pulang


Dua adik beradik warga Pakistan, Abdul dan Mohammed Rabbani dibebaskan dan dihantar pulang selepas berada di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo lebih 20 tahun. – Gambar AFP, 26 Februari, 2023.

DUA adik beradik warga Pakistan, Abdul dan Mohammed Rabbani dibebaskan dari penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo selepas lebih 20 tahun dalam tahanan dan dihantar pulang, kata Pentagon pada Khamis.

Abdul Rabbani yang dilahirkan pada 1967 dipercayai merupakan salah seorang banduan tertua di kemudahan itu di pangkalan AS di Cuba.

Pegawai AS mendakwanya bekerja untuk dalang 9/11 Khalid Sheikh Mohammed (KSM) dan mengendalikan rumah selamat Al-Qaeda di Karachi.

Mohammed Rabbani yang dilahirkan pada 1969 dituduh merekrut abangnya ke dalam kumpulan pelampau.

Dia dipercayai mengatur perjalanan dan dana untuk KSM serta Abd al-Rahim al-Nashiri, dalang pengeboman berani mati kapal pemusnah peluru berpandu USS Cole pada Oktober 2000 yang menyebabkan 17 kelasi AS terkorban.

Kedua-duanya ditangkap di Karachi pada September 2002 oleh pihak berkuasa Pakistan, menurut laporan jawatankuasa perisikan Senat yang turut menamakan Mohammed Rabbani sebagai salah seorang daripada 17 tahanan yang diseksa di penjara rahsia CIA luar negara yang dikenali sebagai tapak hitam.

Mereka tiba di Teluk Guantanamo pada 2004 dan mereka mendapat kebenaran untuk dibebaskan pada 2021, kata Jabatan Pertahanan dalam satu kenyataan.

Pembebasan mereka menjadikan 32 orang tahanan masih berada di penjara di Teluk Guantanamo. 

Daripada jumlah itu, 18 layak untuk dipindahkan, tiga layak untuk semakan, sembilan sedang dalam perbicaraan di suruhanjaya tentera AS dan dua disabitkan kesalahan. – AFP, 26 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen