AS saran tahanan Guantanamo sakit mental dibebaskan


Penyeksaan tanahan di penjara Guantanamo itu telah didokumenkan secara meluas dan mendorong gesaan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa supaya tapak itu ditutup. – Gambar EPA, 5 Februari, 2022.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan supaya membebaskan seorang banduan yang sakit mental dari Teluk Guantanamo dan menghantarnya pulang ke Arab Saudi, menurut dokumen kerajaan diterbitkan pada Jumaat.

Disyaki sebagai perampas ke-20 Al-Qaeda dalam serangan 11 September 2001, Mohammed al-Qahtani telah diseksa oleh penyiasat di pangkalan tentera AS di Cuba di mana dia telah ditahan selama hampir dua dekad.

Kerajaan menggugurkan kes terhadapnya pada 2008 kerana penderaan yang dialaminya di penjara.

Penahanan al-Qahtani “tidak lagi diperlukan untuk melindungi daripada ancaman besar yang berterusan terhadap keselamatan Amerika Syarikat,” kata Lembaga Kajian Berkala, panel yang terdiri daripada beberapa agensi keselamatan negara AS.

Dalam penentuan bertarikh 4 Februari, lembaga itu berkata al-Qahtani “layak untuk dipindahkan” dan mengesyorkan agar dia dihantar pulang ke Arab Saudi di mana dia boleh menerima penjagaan kesihatan mental yang komprehensif dan didaftarkan di pusat pemulihan untuk pelampau.

Langkah keselamatan, termasuk pengawasan dan sekatan perjalanan, juga disyorkan.

Al-Qahtani merupakan salah seorang banduan pertama yang dihantar ke Guantanamo pada Januari 2002.

Dia terbang ke Orlando, Florida pada 4 Ogos 2001, tetapi ditolak masuk ke negara itu dan dihantar ke Dubai.

Dia akhirnya ditangkap di Afghanistan pada Disember 2001.

Penyeksaan beliau di penjara telah didokumenkan secara meluas dan mendorong gesaan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa supaya tapak itu ditutup. Dia dikenakan pengasingan yang panjang, kurang tidur, penghinaan seksual dan penderaan lain.

“Kita seksa Qahtani,” kata Susan Crawford, seorang pegawai kehakiman tertinggi dalam pentadbiran Bush pada 2009, menurut artikel Washington Post.

Pada Januari, Amerika Syarikat meluluskan pembebasan lima daripada baki 39 individu yang masih berada di Guantanamo.

Sepuluh yang lain, termasuk yang dikatakan dalang serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed, yang dikenali sebagai “KSM”, sedang menunggu perbicaraan oleh suruhanjaya tentera. – AFP, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen