PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden mahu menutup penjara di Teluk Guantanamo yang memuatkan suspek pengganas sebelum tamat penggalnya, kata Rumah Putih, mengulangi janji kempen yang tidak dipenuhi dari pentadbiran Barack Obama.
Ditanya pada sidang media mengenai kemungkinan penutupan penjara di Cuba semasa pemerintahan Biden, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki berkata, “Itu pasti adalah tujuan dan niat kita.”
Beliau berkata pentadbiran sekarang, melalui Majlis Keselamatan Nasional sedang berusaha untuk “menilai keadaan semasa pentadbiran Biden yang telah diwarisi dari pemerintahan sebelumnya.”
Dalam kempen presiden pada 2016, Donald Trump menyatakan kesediaan untuk membuka penjara Guantanamo dan “mengisinya dengan orang jahat.” Republikan mengekalkan pendiriannya itu setelah Trump dilantik sebagai Presiden.
Bagaimanapun, beberapa tahanan telah dijanji akan dibebaskan dari Guantanamo di bawah pendahulunya Obama, dari Demokrat, tetapi beliau tidak pernah berjaya meyakinkan Kongres. Biden adalah naib presiden Obama ketika itu.
Penjara tentera itu menampung tahanan yang berkait “perang melawan keganasan” AS termasuk Khaled Sheikh Mohammed dari Pakistan yang didakwa merupakan dalang serangan 11 September 2001.
Ia masih menempatkan sekitar 40 tahanan, 26 daripanya dianggap sangat berbahaya untuk dibebaskan, namun prosiding undang-undang masih berlanjutan kerana kerumitan kes mereka.
Selepas serangan 9/11, Angkatan Darat AS, di bawah kepimpinan George W. Bush dengan cepat membina pusat tahanan di pangkalan tentera laut milik Amerika Syarikat di hujung timur Cuba itu, di sebuah gugusan yang diserahkan oleh Cuba kepada Amerika Syarikat pada 1903 sebagai tanda terima kasih kepada jirannya atas bantuannya dalam perang menentang Sepanyol. – AFP, 13 Februari, 2021.
Komen