Pemain industri muzik mahu campur tangan kerajaan


Noel Achariam

Presiden Persatuan Seniman Malaysia Freddie Fernandez berkata 15 daripada persatuan utama industri itu menubuhkan sebuah badan perundingan bernama Music Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

INDUSTRI muzik Malaysia bersatu untuk mendapatkan bantuan kerajaan dalam pelbagai isu yang melanda sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia Freddie Fernandez berkata 15 daripada persatuan utama industri itu menubuhkan sebuah badan perundingan bernama Music Malaysia.

Beliau berkata matlamat utama mereka adalah untuk mendekati kerajaan bagi mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi oleh industri. 

“Music Malaysia berusaha untuk menjadi suara industri muzik tempatan dalam semua isu yang mereka hadapi. Tujuannya adalah untuk mengemukakan isu-isu yang dihadapi industri dan mengemukakan cadangan untuk menyelesaikannya,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Pengerusi Music Malaysia itu berkata beberapa isu yang mereka rancang untuk bangkitkan adalah berkaitan cukai ke atas hiburan, peraturan mengenai penganjuran konsert, penerbitan muzik dan rakaman.

Fernandez juga berkata mereka mahu membangkitkan isu hak cipta, pendidikan muzik, kebajikan penyanyi dan pemuzik serta isu lain yang berkaitan. 

“Kami mempunyai cukai hiburan yang sangat tinggi sebanyak 25% untuk konsert yang menjadi penghalang kepada penganjur konsert. 

“Ini mengehadkan peluang untuk artis tempatan dan antarabangsa membuat persembahan di sini.” 

Beliau berkata mereka mencadangkan kerajaan mengetepikan cukai itu buat masa ini. 

“Semasa pandemik, cukai adalah 5% dan sejak tahun lepas ia meningkat kepada 25%. Apa yang kita perlukan adalah untuk industri mendapat galakan,” katanya.

“Penganjur sudah membayar terlalu banyak sehingga ia akan menghalang mereka daripada mendapatkan dan mempromosikan konsert lain,” katanya. 

Isu lain katanya ialah kutipan royalti di mana terlalu banyak perniagaan diberikan lesen oleh kerajaan. 

“Dulu orang hanya perlu bayar satu badan (royalti). Sekarang ada lima agensi kutip royalti. Jadi, mereka kena bayar kepada pelbagai agensi ini. 

“Dan terdapat kekeliruan mengenai kepada siapa pengguna perlu membuat bayaran?

“Pengguna tidak berpuas hati dan menyeru kerajaan membenarkan satu agensi untuk mengutip royalti,” katanya.

Mengenai kebajikan pemuzik, Fernandez berkata kebanyakan penyanyi kekurangan pekerjaan kerana pusat hiburan masih dalam fasa pulih daripada wabak itu. 

“Kelab-kelab masih dalam fasa pulih dan tidak mampu memperoleh pendapatan yang munasabah (untuk mengupah kumpulan muzik). 

“Terdapat juga ramai pemuzik yang semakin berusia dan kami tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu mereka. 

“Kami berharap kerajaan bukan sahaja dapat melihat kebajikan mereka tetapi membantu dengan program latihan dan pembangunan,” katanya.

Tambahnya bulan depan Music Malaysia akan berjumpa dengan kementerian berkaitan seperti Komunikasi dan Multimedia, Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Industri dan Kewangan. 

“Kami berharap dapat berjumpa dengan kementerian dan mengemukakan cadangan kami untuk memperbaiki industri muzik,” katanya. 

Beliau turut memuji perdana menteri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM102 juta untuk Dana Kandungan Digital. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini adalah untuk mempromosikan karya artis tempatan dan untuk menggalakkan penciptaan lebih banyak produksi asli. 

Fernandez berkata ia adalah angka yang cukup baik untuk industri.

“Kami menantikan garis panduan dan bagaimana kami boleh memohon geran itu,” katanya. – 26 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen