KETIKA hiburan secara langsung masih tidak dibenarkan, ia tidak memberi petanda baik kepada penghibur tempatan dan industri muzik, kata Freddie Fernandez ketika Malaysia bersiap sedia bagi fasa peralihan ke endemik pada 1 April.
Presiden Karyawan itu berkata, sejak bermulanya wabak itu, pemain dalam industri muzik berdepan pelbagai cabaran.
Fernandez berkata, kira-kira 3,000 pemuzik dan penghibur terjejas dan jika ia termasuk jurutera bunyi, artis, kru muzik dan DJ, angka itu boleh mencecah sehingga 5,000.
Mereka kini menyeru kerajaan membenarkan hiburan secara langsung demi kelangsungan hidup semua pemuzik, artis dan ‘disc jockey’.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight sudah dua tahun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama Covid-19 pada Mac 2020, pemuzik tidak dapat bekerja.
“Paling rugi adalah pemuzik, kerana kita dapat lihat restoran, bar dibenar menghidangkan makanan dan minuman tetapi mereka (pemuzik) tidak boleh membuat persembahan.
“Ini menyebabkan pergolakan besar dalam komuniti muzik. Kami berharap 1 April akan membawa sedikit kelegaan dan kami boleh kembali kepada kehidupan normal (membuat persembahan). Tetapi nampaknya ia satu sektor yang sudah dilupakan.”

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain pembukaan sempadan pada 1 April, kedai makan akan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam.
Ini termasuk had kapasiti 50% untuk tempat acara seperti majlis perkahwinan dimansuhkan tetapi penganjur perlu memastikan penjarakan sosial yang munasabah.
Beliau juga berkata, tidak lagi wajib bagi sesiapa sahaja untuk diberi vaksin bagi perjalanan antara negeri.
Menurut SOP Majlis Keselamatan Negara bertarikh 23 Februari, Fasa 4 melarang sebarang “aktiviti hiburan” di pub atau kelab malam.
Bagaimanapun, SOP membolehkan ‘busking’ di bawah aktiviti yang dibenarkan (dengan syarat) dan persembahan di lounge hotel.
Fernandez berkata, mereka kini merayu menerusi pelbagai saluran untuk diberi kelonggaran, supaya pemuzik boleh meneruskan persembahan secara langsung.
Beliau berkata, sejak dua tahun lalu mereka menghantar surat kepada pelbagai agensi kerajaan untuk membincangkan situasi mereka.
“Sebelum ini kami sudah menulis surat kepada beberapa menteri dan pihak berkuasa untuk membenarkan persembahan secara langsung.
“Namun hingga kini, kami tidak mendapat sebarang maklum balas positif daripada sesiapa. Langkah seterusnya adalah cuba merayu kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin). Kami percaya beliau akan memberi maklum balas kepada kami.”

Beliau berkata, minggu lalu Bahagian Kelab Artis Malaysia (MCAD) yang merupakan sebahagian daripada Karyawan menghantar surat kepada Khairy meminta campur tangan beliau.
“Beliau dikenali sebagai seorang yang mesra seni. Jika beliau mendapat gambaran yang betul maka kami berharap dapat meyakinkannya untuk membantu kami.
“Kami faham mereka mempunyai kebimbangan mereka sendiri mengenai situasi (pandemik Covid-19).”
Outlet yang punya lesen hiburan harus ada ‘live music’
Fernandez berkata, outlet seperti bar dan restoran yang mempunyai lesen hiburan harus dibenarkan mempunyai ‘live music’.
“Bar dan restoran dibenarkan beroperasi, jadi kenapa (kerajaan) tidak boleh bagi live music di outlet berlesen.
“Kami boleh memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.”
Pemuzik cuba mencari rezeki
Bagi membolehkan pemuzik meneruskan kelangsungan hidup, beliau berkata, ramai yang memandu Grab, menceburi bidang makanan dan perniagaan lain, menjual aset dan melakukan apa sahaja untuk terus hidup memandangkan mereka tidak dibenarkan mencari rezeki dengan membuat persembahan.
Katanya, mereka juga melakukan pengumpulan dana untuk membantu pemuzik secara berkala sejak dua tahun lalu.
“Sektor korporat, kumpulan masyarakat sivil dan agensi kerajaan memberikan bantuan.
“Kami berjaya mengumpul dana hampir RM200,000 yang diagihkan kepada pemuzik.
“Pemuzik mahu kembali bekerja. Beri kami peluang, kami sudah menderita terlalu lama.
“Ia pasti menjadi hari yang menyedihkan, apabila pemuzik berputus asa kerana di situlah bakat dan kemahiran mereka dipertontonkan.”
Katanya, mereka juga sering didatangi orang ramai bertanyakan bilakah akan ada hiburan secara langsung.
Fernandez juga berkata, apabila sempadan dibuka dan pelancong masuk, mereka juga mungkin mencari ‘live music’.
“Singapura juga mengumumkan mereka sudah membenarkan hiburan secara langsung. Semoga kita boleh melakukan perkara sama,” katanya. – 28 Mac, 2022.
Komen