Royalti muzik bermasalah kerana banyak badan, kata Karyawan


Diyana Ibrahim

MASALAH bayaran royalti kepada penggiat seni berlaku kerana terlalu banyak syarikat yang menguruskan royalti muzik namun gagal memainkan peranan mereka dengan berkesan, kata Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez.

Freddie menjelaskan beliau mengangkat isu penyelewengan RM30 juta royalti artis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana masalah itu sudah berlarutan sampai 20 tahun dan tidak tidak juga selesai.

“Kita melihat ada banyak badan ditubuhkan untuk kutip royalti artis sampai sekarang artis tak dapat apa, itu satu masalah besar bagi saya , walaupun orang kutip sana sini.

“Tapi syarikat rakaman dapat, komposer dapat artis tak dapat apa,” katanya, yang juga ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau sebelum ini ada usaha untuk menubuhkan hanya sebuah badan untuk mengutip dan mengagihkan bayaran royalti muzik iaitu Music Rights Malaysia (MRM) pada 2016. Namun usaha penyelesaian jalan tengah itu terbantut apabila MRM dibubarkan pada Julai 2020.

Freddie mendakwa MRM bubar akibat konspirasi beberapa pihak yang tidak puas hati dengan hak pengurusan royalti yang diselaraskan melalui sebuah badan tunggal.

“Kita sudah selesaikan masalah ini pada 2016 supaya satu badan saja kutip dan agihkan royalti, selepas itu ada orang nak bubarkan MRM walaupun berjalan dengan baik.

“Saya rasa ini satu konspirasi yang ada kaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa yang harus disiasat oleh penguat kuasa kerajaan… sebab itulah saya buat laporan,” katanya.

Presiden Karyawan Freddie Fernandez mengangkat isu penyelewengan RM30 juta royalti artis kepada SPRM kerana masalah itu sudah berlarutan sampai 20 tahun dan tidak tidak juga selesai. – Gambar Facebook, 22 Disember, 2020.

Pada hujung November, SPRM menyerbu empat pejabat pengurusan royalti muzik iaitu Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) serta Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

PRISM diperintah bubar oleh mahkamah pada November 2018 selepas gagal membayar hutang yang juga ada kaitan dengan urusan royalti muzik.

Tiga badan yang lain – RPM, PPM dan MACP – membubarkan MRM pada Julai lalu selepas gagal mencapai kata sepakat sehingga menyebabkan badan tunggal itu tidak dapat berperanan seperti yang diharapkan.

Pada 9 Disember lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid mengumumkan RPM dan PRISM akan membayar royalti tertunggak sejak 2018, yang melibatkan pembayaran awal berjumlah keseluruhan hampir RM12 juta.

Perlu penyelesaian jangka panjang

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Norman Abdul Halim bagaimanapun berkata keputusan untuk memulangkan royalti itu hanya sementara, dan bukan penyelesaian jangka panjang.

“Isunya bukan agihan royalti lama sekarang ini tapi kita kena fikirkan masa depan macam mana pun perlu ada penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sementara itu penulis lirik Hasmi Hashim atau lebih dikenali dengan nama pena Buddhi Hekayat berkata karyawan tiada masalah dengan pembayaran royalti di bawah MACP.

Masalah hanya timbul apabila tiada pihak yang tahu siapa yang menguruskan kutipan royalti di bawah MRM, katanya.

“Ada tempat MACP pungut royalti tapi PRISM pun datang juga (untuk pungut)... jadi fungsi itu sudah bertindih.

“Tapi sejak berdiri sendiri, MACP sendiri tak ada masalah, dan bagus benda itu terpecah kembali seperti asal. Masing-masing jaga kepentingan masing-masing,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Norman Abdul Halim. – Gambar Instagram, 22 Disember, 2020.

Hasmi menambah setakat ini tiada isu lain yang mendesak kecuali memperbaiki sistem mengesan lagu yang dimainkan yang boleh dituntut royalti serta kadar bayaran royalti oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak berubah sejak lama.

“RTM ini kerajaan, mereka patut tunjuk contoh yang baik,” katanya.

Hasmi menegaskan hasil karya muzik sepatutnya boleh jadi jaminan “pencen” kepada komposer, penulis lirik, penyanyi dan penggiat seni yang lain, namun itu tidak berlaku pada masa ini.

Beliau berkata kurang dari lima peratus komposer dan penulis lirik yang boleh bergantung hidup pada hasil royalti, dan keadaan itu sepatutnya membimbangkan banyak pihak.

“Artis lama dah berkarya 30 tahun tapi masih tak boleh bergantung hidup mereka sepenuhnya dengan duit royalti kecuali artis besar seperti M Nasir, penulis lirik Habsah Hassan atau arwah Loloq.

“Macam Bob Lokman itu pun terpaksa minta bantuan nak buat pembedahan walhal beliau banyak lagu hits. Saya rasa kita patut sasarkan sekurang- kurangnya 15% atau 20% karyawan boleh bergantung pada royalti,” katanya.

Bob Lokman yang menulis lirik lagu popular antaranya Isabella nyanyian Search dan Taman Rashidah Utama nyanyian Wings baru-baru ini merayu bantuan kewangan untuk rawatan jantung.

Sementara itu, Pengerusi MACP M Nasir menjelaskan sebenarnya tiada isu yang terlalu kritikal dengan bayaran royalti kepada penggiat seni memandangkan ketika ini ia dalam proses penyelesaian.

Pengerusi MACP M Nasir. – Gambar Instagram, 22 Disember, 2020.

Katanya, isu ini nampak besar hanya kerana SPRM datang ke pejabat syarikat terbabit.

“Sebenarnya tidak ada isu pun. Saya rasa hanya diperbesarkan bila SPRM masuk pejabat syarikat… jadi orang tak tahu apa dan kenapa mungkin orang fikir ada penyelewengan.

“Masalah bukan masalah zahir tapi masalah wujud pada dua persatuan ini sahaja RPM dan PRISM. Ada dua badan untuk pemuzik dan penyanyi tapi satu sudah ditutup dan ia menyebabkan wujud masalah pengagihan.

“Kalau yang lain, tak ada masalah. Proses itu makan masa amat lama… kerana itu orang tak tahu apa berlaku,” katanya.

M Nasir menolak dakwaan masalah timbul kerana wujud banyak badan yang mengendalikan kutipan royalti. Katanya, tiga badan pelesenan royalti – RPM, PPM, dan MACP – mempunyai peranan berbeza dan mewakili penggiat seni yang bernaung di bawah mereka.

“Tak tahulah, macam ada orang ambil kesempatan membawa diri mereka ke hadapan (campur tangan). Selama ini orang tak tahu sebenarnya kita sedang dalam proses menyelesaikan. 

“Tapi orang ini masuk di tengah-tengah (proses)... bukan tengah tapi dah sampai penghujung pun. 

“Sebenarnya tak patut keliru setiap persatuan ada hak yang lain- lain,” katanya.

Pada masa ini, artis atau penyanyi dikendalikan oleh RPM sementara syarikat rakaman di bawah PPM manakala pencipta lagu, penulis lirik dan pemuzik di bawah MACP.

M Nasir juga berpandangan sukar untuk meletakkan ketiga-tiga persatuan itu di bawah satu badan kerana peranan mereka berbeza.

“Bukan tak bagus (tubuh satu badan) tapi dalamnya (setiap badan) ada hak berbeza dan akan menyebabkan ada pertikaian.

“Memang nampak macam cantik nak bersatu tapi nak bersatu itu susah,” katanya. – 22 Disember, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen