PUTRAJAYA perlu tampil dengan alternatif atau lebih tepat skim sokongan kewangan kerajaan dan bukannya meminta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan hari tua mereka, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Presidennya Dr Syed Hussain Syed Husman berkata Putrajaya perlu menggunakan semua sumber kewangannya untuk mewujudkan skim kerajaan lain bagi menyokong mereka yang bekerja dan memerlukan sokongan kewangan.
“Hari ini ramai masih bekerja dan mereka menikmati banyak faedah daripada pekerjaan. Bagaimanapun, apabila mereka bersara semua faedah pekerjaan ini tidak lagi dapat digunakan. Bagi kebanyakan pencarum KWSP, apabila bersara, satu-satunya cara mereka ialah dana KWSP yang disimpan.”
“Untuk membenarkan pengeluaran jaring keselamatan ini bukanlah idea yang bijak. KWSP sahaja tidak dapat menjamin faedah seperti itu kepada warganya kerana kosnya semakin tinggi. MEF gembira kerana kerajaan perpaduan sedang meneliti perkara ini dan faham apa baik dan praktikal untuk dilaksanakan demi kelestarian kehidupan selepas bersara,” kata Hussain.
Semalam, Anwar menyeru rakyat Malaysia mempertimbangkan semua pilihan yang ada kepada mereka sebelum meminta dibenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas satu majlis di kampus Universiti Selangor Bestari Jaya, perdana menteri berkata kerajaan amat prihatin terhadap rakyat Malaysia yang hampir bersara yang mempunyai baki simpanan tidak seberapa dalam dana itu.
“Jika kita membenarkan lebih banyak pengeluaran apabila rakyat hanya mempunyai baki RM5,000 atau RM10,000 dalam simpanan mereka, apa akan berlaku apabila mereka bersara (contohnya) dalam tempoh empat tahun dari sekarang?”
Anwar menyeru agar akhbar memberi liputan yang adil terhadap isu itu.
“Saya boleh saja biarkan mereka keluarkan (simpanan KWSP) kerana itu duit mereka. Tetapi bagi mereka yang katalah hanya tinggal RM3,000, jika mereka keluarkan RM3,000 itu sekarang, apa akan jadi dengan keluarga mereka?”
Sementara itu, Hussain memuji keputusan Anwar tidak membenarkan pengeluaran simpanan KWSP selanjutnya sambil menambah MEF menghargai keputusan berani dan kemahuan politik kerajaan perpaduan yang tidak membenarkan pengeluaran itu.
“Keputusan itu akan membantu memastikan kemampanan jangka panjang simpanan KWSP untuk hari tua. Menjadi sasaran bagi pencarum KWSP mempunyai paras minimum simpanan RM480,000 ketika mencapai umur persaraan. Dengan simpanan minimum RM480,000 pada umur persaraan, pesara akan dijamin minimum RM2,666 sebulan untuk digunakan setiap bulan sehingga tempoh 15 tahun.”
“Kerajaan mesti memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada mengeluarkan simpanan KWSP untuk keperluan hari tua. Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada pekerja individu. Sebagai warganegara, sepanjang hayat dan kerjaya mereka, mereka telah banyak menyumbang kepada negara. Ia adalah peranan negara untuk menjaga mereka apabila bersara,” kata Hussain. – 10 Februari, 2023.
Komen