PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa satu sidang khas Dewan Rakyat mengenai banjir diadakan bagi membolehkan ahli Parlimen mengutarakan pandangan serta cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana terburuk pada pertengahan Disember lalu.
Umno katanya, kecewa dengan kelemahan koordinasi agensi-agensi berkaitan dalam menghadapi musibah banjir kali ini.
“Koordinasi agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah sekali dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini sedangkan Nadma mempunyai garis panduan penyelarasan musibah banjir yang komprehensif sejak dibangunkan pada 2014.
“Dengan angka korban yang begitu tinggi berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan Titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan post-mortem bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahid dalam pada itu berkata Umo menhargai bantuan untuk mangsa banjir yang mencecah sehingga RM61,000 bagi satu keluarga seperti yang diumum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau bagaimanapun berharap bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa banjir dengan mengurangkan kerenah birokrasi.
“Umno juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara one-off sebanyak RM10,000 kerana rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pendemik Covid-19 bukan sahaja yang ditimpa dengan musibah banjir.”
“Ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021 lalu,” katanya. – 5 Januari, 2022.
Komen