Ramai lega dapat keluarkan caruman KWSP


RAMAI menarik nafas lega setelah mendengar pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Ibu tunggal Faezah Rauf menerusi akaun Facebook beliau berkata pengumuman itu dialu-alukan memandangkan sesi persekolahan baru bakal bermula.

“Seorang nak masuk sekolah teknik/asrama, perlu banyak sedikit nak pakai duit untuk beli keperluan. Bapa diaorang (bekas suami) dah berapa tahun abaikan nafkah anak-anak. Seorang (anak) nak masuk sekolah baru. Aku pun nak guna untuk mulakan modal untuk berniaga,” katanya di dalam ruangan komen di laman akaun rasmi Bernama.

Rata-rata menzahirkan rasa syukur dan menyambut baik pengumuman tersebut walaupun ada antara mereka yang bukan pemohon pengeluaran khas caruman KWSP.

Kebenaran itu bertujuan meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Situasi pandemik berpanjangan telah menjejaskan sumber pendapatan dan jumlah simpanan ramai pihak. Namun bagi mereka yang terkesan akibat banjir, keadaan mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Pemilik akaun Facebook Ayap Ashraf yang mengharapkan kebenaran pengeluaran ini dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. 

“Semoga syarat pengeluaran mudah dan tidak rumit…dapat la bantu mangsa-mangsa banjir dan orang-orang yang terjejas pendapatan…semoga kita semua dipermudahkan urusan..amin,” katanya. 

Pengguna Facebook Rushdi Zura pula berharap kelulusan pengeluaran wang KWSP itu tanpa sebarang syarat demi memudahkan lagi proses pengeluaran. 

Perdana menteri berkata keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun menganggapnya jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Pengguna Instagram @anissufianb_ sedar pengeluaran itu bakal menjejaskan simpanan masa tua namun tetap bersyukur kerana amat memerlukannya.

“Alhamdulillah, I really need it right now, (tinggal) sikit je lagi untuk survive. Baru start kerja ni, belum gaji pun lagi. InshaAllah lepas ni top-up semula KWSP tu,” katanya di ruangan komen hantaran pada laman Instagram rasmi Bernama.

Pengguna Instagram @belle_naj pula berharap agar tiada pihak yang menyalahgunakan peluang yang diberi oleh kerajaan. 

“Alhamdulillah untuk yang benar-benar memerlukan..harapnya jangan ada yang ambil kesempatan guna duit itu untuk membazir, membeli-belah, bercuti sana-sini..gunakan dengan bijak walaupun itu duit sendiri..hari tua kita tak tau macam mana nanti,” katanya. 

Hantaran mengenai isu pengeluaran KWSP di kedua-dua media sosial Bernama itu mendapat lebih 3,000 komen setakat jam 5 petang. 

Ismail Sabri menasihatkan pencarum agarmengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak dan berharap mereka membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula berkata KWSP akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan dan butiran mengenainya akan diperincikan dalam masa terdekat. – Bernama, 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen