Larangan lori di Cameron Highlands jejas bekalan sayur, kata Adun


Noel Achariam

Larangan kenderaan komersial menggunakan sebahagian laluan di Cameron Highlands boleh memberi kesan kepada bekalan sayur, kata Adun Tanah Rata Ho Chi Yang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2023.

LANGKAH melarang kenderaan komersial menggunakan sebahagian daripada laluan Tapah-Cameron Highlands boleh memberi kesan kepada bekalan sayur-sayuran untuk pengguna, kata Adun Tanah Rata Ho Chi Yang.

Adun DAP itu berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiarkan notis persekutuan bulan lepas berkenaan rancangan untuk melarang kenderaan komersial menggunakan laluan itu pada waktu tertentu dari Jumaat dan Ahad mulai 7 Februari.

Ho berkata dalam notis JKR kenderaan komersial dilarang menggunakan laluan dari Habu ke Tringkap dari 10 pagi hingga 3 petang pada Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum dan sekolah.

Beliau bagaimanapun berkata selepas sesi dialog pada 3 Februari dan surat bantahan diberikan, JKR memutuskan untuk menangguhkan larangan itu.

“Dalam jangka panjang ia mungkin menjejaskan bekalan sayur secara keseluruhan, bukan sahaja pekebun dan pengusaha logistik terjejas tetapi pengguna juga terkesan.

“Sama ada akan kekurangan bekalan hasil atau harga mungkin naik kerana gangguan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ho berkata pada bulan lalu petani dan operator logistik diberi masa sehingga 27 Januari untuk mengemukakan bantahan dan maklum balas mereka.

Kemudian pada 3 Februari, JKR Cameron Highlands menganjurkan sesi dialog dengan pihak berkepentingan di mana kesemua mereka membantah cadangan ini.

“Alasan petani dan pengusaha logistik ialah sayur-sayuran merupakan barang mudah rosak.

“Jika terdapat kelewatan menghantar sayur-sayuran ke pasar atau destinasi lain, ia mungkin menjejaskan kualiti hasil,” katanya.

Operator logistik bergantung kepada ladang untuk bekalan dan terdapat kira-kira 3,000 ladang di Cameron Highlands.

“Jadi setiap ladang mempunyai jadual berbeza dan pasaran yang mereka hantar hasil ke Ipoh, Selayang, Singapura dan negeri lain.

“Pasaran yang berbeza akan mempunyai masa (kutipan) yang berbeza. Jadi menyekat kenderaan bukan sahaja akan memberi kesan kepada jadual tetapi bekalan sayur-sayuran,” katanya.

Kesesakan lalu lintas

Ho percaya sebab utama mereka membuat sekatan ini adalah untuk menghentikan masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands pada hujung minggu.

“Ia kerana banyak kenderaan awam dan pelancong datang ke Cameron Highlands pada hujung minggu.

“Tetapi saya tidak fikir mengehadkan kenderaan sebenarnya boleh menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Katanya JKR perlu menjalankan kajian menyeluruh bukan sahaja meninjau kenderaan yang masuk tetapi mendapatkan pandangan profesional dalam perancangan bandar, pengurusan trafik dan agensi lain.

“Sekatan ini bukan sahaja menjejaskan pergerakan kenderaan tetapi keselamatan makanan,” katanya.

Ho berkata beliau sudah pun menulis kepada Kementerian Kerja Raya dan melampirkan 40 surat bantahan daripada petani dan pengusaha logistik.

Surat itu dihantar kepada Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan agensi lain.

Beliau juga sedang mendapatkan penjelasan mengenai sebab atau faktor Kementerian Kerja Raya mengeluarkan arahan sedemikian.

“Apakah matlamat dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ingin dicapai oleh kementerian dengan sekatan ini?

“Apakah penyelidikan yang dijalankan oleh kementerian sehingga cadangan sekatan ini dilihat penting untuk dilaksanakan?,” soalnya. – 10 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen