Lelaki dipenjara 6 tahun simbah anak dengan air panas


SEORANG bapa yang mendera anak bongsunya dengan menyimbah air panas menggelegak kerana mengganggunya tidur, dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Yasin Halik, 41, yang mengaku bersalah menyimbah air panas daripada pemanas air ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hingga menyebabkan bahu kiri serta kanan dan kedua lutut mangsa melecur.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada 12 tengah hari pada 1 Disember tahun lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Norina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Disember 2022 selain mengarahkannya berkelakuan baik dengan bon jaminan  tanpa cagaran selama tiga tahun serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 180 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pada 7 malam 1 Disember 2022, pengadu iaitu seorang wanita warga Indonesia bernama Suma pulang dari kerja dan melihat mangsa serta seorang lagi anaknya dalam keadaan bogel dengan kesan melecur pada badan dua anaknya itu. – Bernama, 27 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen