PAS tawar Maria bertanding guna tiket Gagasan Sejahtera


Radzi Razak Muzliza Mustafa

Maria Chin Abdullah meletak jawatan dalam Bersih 2.0 untuk bertanding PRU14, walaupun masih banyak persoalan belum terjawab mengenainya. Hari ini, PAS menawarkan peluang kepada Maria bertanding guna tiket Gagasan Sejahtera. – Gambar EPA, 11 Mac, 2018.

BEKAS Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ditawar bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menggunakan tiket Gagasan Sejahtera.

Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, Suhaimi Embong berkata, PAS dan Gagasan Sejahtera sentiasa menyokong pemimpin NGO malah parti Islam itu juga sedia berbincang sekiranya Maria setuju.

“Maria Chin Abdullah hingga sekarang tak dapat bertanding bawah PH. Dia (PH) suruh jadi ahli. 

“Kalau dia (Maria) bersetuju, kita boleh bincang. Kita juga offer kerusi-kerusi pada NGO. Bertanding di mana, itu kena bincang lah. PAS sentiasa terbuka dan kita akan bincang,” katanya di majlis Minum Petang Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini. 

Minggu lalu, Maria meletak jawatan sebagai pengerusi badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 dan sedia bertanding dalam PRU 14 sebagai calon PH di kerusi persekutuan. 

Bagaimanapun, Khamis lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata parti itu hanya akan memberi kerusi kepada Maria sekiranya aktivis itu menyertai PKR. 

Sebelum itu, Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu masih belum membincangkan soal kerusi yang boleh diberi kepada Maria. 

Gagasan Sejahtera merupakan blok ketiga pembangkang diketuai PAS yang kini bekerjasama dengan beberapa parti seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM). 

Suhaimi berkata, PAS juga akan meletakkan beberapa calon daripada NGO di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara.  

Dalam isu berkaitan, kawasan 130 kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada PRU14 akan diumumkan esok, katanya.

Menurutnya lagi, semua calon Gagasan Sejahtera tanpa mengira asal parti atau NGO akan bertanding menggunakan logo PAS dan semua calon dihendaki setia kepada blok ketiga itu.

“Syarat-syarat calon ialah kena setia dengan Gagasan Sejahtera.

“Pemimpin NGO dikenali tetapi NGO tiada logo (untuk bertanding pilihan raya). Logo PAS juga merupakan logo paling dominan. 

“Orang tak kenal logo Ikatan, Berjasa mungkin sedikit saja sebab pernah bertanding.”

Katanya lagi, NGO dan calon Gagasan Sejahtera tidak hanya bertanding di Wilayah Persekutuan tetapi juga akan diberikan kerusi negeri bergantung kepada hasil rundingan dan kesesuaian kawasan.

“Seperti Khalid Ibrahim. PAS (Selangor) sudah menawarkan mana-mana kerusi negeri untuknya,” kata Suhaimi.

Dalam ucapannya di majlis anjuran PAS di Lembah Pantai hari ini beliau turut menyatakan yang PAS berpeluang menang di kawasan itu sekiranya mereka mempunyai strategi dan formula yang tepat.

Pada PRU2008 dan PRU2013, PAS hanya bertanding satu kerusi di Wilayah Persekutuan, tetapi pada PRU14 parti itu merancang bertanding di sembilan kerusi.

Salah satunya adalah Lembah Pantai.

Dijangka pertandingan tiga penjuru antara PAS, PKR dan Umno. Lembah Pantai dipegang PKR sejak PRU12. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen