Pakatan belum putuskan kawasan Maria Chin akan bertanding


Radzi Razak

Kerusi yang akan diberikan kepada bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah masih belum diputuskan dan perbincangan teliti akan dijalankan bagi mengelak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 6 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan masih belum memutuskan kawasan mana yang akan ditandingi bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah untuk Pilihan Raya Umum (PRU) depan. 

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu perlu meneliti secara terperinci kawasan yang diberikan kepada aktivis itu agar ia tidak memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN). 

“Kami perlu berbincang dengan dia (Maria). Kami masih belum memutuskan apa-apa. 

“Kerana antara perkara kita tak mahu lihat ialah pertandingan tiga penjuru yang jadi empat, lima dan enam penjuru. Ia hanya akan memecahkan lagi undi dan pemenangnya ialah BN,” kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini. 

Semalam, Maria mengumumkan beliau meletak jawatan dalam badan pemantau pilihan raya, Bersih 2,0 dan bersedia untuk bertanding dalam PRU 14 sebagai calon PH di kerusi persekutuan. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah mengesahkan PKR membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat Biro Politik mereka sebelum ini. 

“Bagaimanapun tiada keputusan dibuat setakat ini,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

The Malaysian Insight turut dimaklumkan sumber parti yang Maria mungkin bertanding di salah satu kerusi PKR - Batu di Kuala Lumpur ataupun Pandan dan Petaling Jaya Selatan di Selangor. 

Maria awal hari ini mengatakan hanya mahu bertanding di kerusi Parlimen dan tidak akan bertanding jika tidak diberikan kerusi di peringkat persekutuan.

“Saya lebih memilih kerusi Parlimen. Ia berada di peringkat persekutuan di mana undang-undang diluluskan. Tidak lebih baik daripada kerusi Parlimen.

“Jika mereka (PH) tidak memberikan kerusi (persekutuan), saya tidak akan bertanding,” katanya

Dalam hal berkaitan, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH akan berbincang mengenai logo atau simbol bersama yang bakal digunakan semua calon mereka untuk PRU14 pada minggu hadapan. 

“Kita akan umumkan satu simbol yang akan digunakan semua calon kita,” katanya. 

Beliau turut memberitahu wartawan hanya tiga negeri - Selangor, Perak dan Melaka yang masih belum menyelesaikan perundingan kerusi.

“Kita pergi kepada soal penyelesaian agihan kerusi. Umumnya putuskan jumlah kerusi empat buah parti. Kita cuma selesai berkenaan beberapa negeri.” –  5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen