Maria hanya bertanding jika diberi kerusi Parlimen


Kamles Kumar

Maria Chin Abdullah hanya akan bertanding jika diberikan kerusi persekutuan kerana ingin menggunakan kerusi di Parlimen untuk meneruskan agenda masyarakat sivil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 6 Mac, 2018.

MARIA Chin Abdullah menegaskan beliau hanya akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika Pakatan Harapan (PH) menawarkannya kerusi persekutuan.

Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu menyatakan beliau akan menggunakan kerusi di Parlimen untuk meneruskan agenda masyarakat sivil dan oleh itu memilih kerusi persekutuan.

“Saya lebih memilih kerusi Parlimen. Ia berada di peringkat persekutuan di mana undang-undang diluluskan. Tidak lebih baik daripada kerusi Parlimen.

“Jika mereka (PH) tidak memberikan kerusi (persekutuan), saya tidak akan bertanding,” katanya pada sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan keputusannya keluar daripada kumpulan reformasi pilihan raya itu.

Bagaimanapun, belum ada parti dalam PH menawarkannya kerusi lagi, katanya.

“Pada masa ini belum ada kerusi yang ditawarkan lagi. Mereka (PH) masih berunding. Ia memerlukan mereka sedikit masa.”

Maria berkata, beliau akan bertanding sebagai calon bebas atas tiket PH. Pakatan pembangkang itu mempunyai empat parti – Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Maria berkata beliau bertanding di bawah PH kerana percaya kepada manifesto gabungan itu dan mendapati kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) menindas.

“BN adalah pencabul. Melihat manifesto PH, saya bersetuju dengan mereka.”

Tetapi, Maria berkata alasannya bertanding sebagai calon bebas adalah bagi menumpukan perhatian kepada politik baru yang mempromosikan agenda masyarakat sivil.

“Adalah penting yang tawaran saya untuk menjadi calon di bawah bendera PH sebagai calon bebas untuk membina apa yang kita panggil ‘politik baru’.

“Politik baru yang akan saya bawa bersama akan memberi tumpuan kepada reformasi pilihan raya,” katanya.

Aktivis wanita juga berkata beliau memutuskan untuk menceburi politik sekarang memandangkan keadaannya yang semakin teruk.

“Pemerhatian saya terhadap situasi politik semasa (tidak begitu baik). Biar saya mengambil agenda ini (masyarakat sivil) ke Parlimen dan lihat apa yang boleh saya lakukan.”

Maria mengambil alih kerusi Bersih 2.0 daripada Ambiga Sreenevasan pada 2013.

Selama lebih tiga dekad, Maria terlibat dalam aktivisme di Malaysia, dengan memfokuskan pada pergerakan wanita.

Pada 1993, beliau berkahwin dengan rakan aktivis Yunus Ali, yang pernah ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1980-an.

Maria ditangkap di bawah undang-undang yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), atau Sosma, pada November 2016 dam ditahan dalam kurungan bersendirian selama 10 hari. – 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen