Pulau filem seram, bukan porno, kata LPF


"Pulau" yang bakal ditayangkan 9 Mac ini dikecam pelbagai pihak berdasarkan trelernya yang disifatkan kontroversi kerana memuatkan adegan yang dikatakan tidak senonoh. – Gambar Facebook, 19 Januari, 2023.

FILEM “Pulau”, yang trelernya jadi kontroversi minggu ini kerana didakwa lucah, adalah filem seram dan bukan filem porno, kata Lembaga Penapis Filem (LPF).

Lembaga itu juga mendapati treler yang dimuat naik ke media sosial dan jadi perhatian umum minggu ini tidak sama dengan filem yang dikemukakan untuk penapisan.

“Filem “Pulau” adalah merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

“LPF mendapati bahawa terdapat perbezaan antara kandungan treler yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan,” kata LPF dalam satu kenyataan.

LPF juga memaklumkan treler itu, yang menjadikan bahan promosi di internet untuk filem yang akan ditayang di pawagam, adalah di luar bidang kuasanya.

Ia menjelaskan LPF menjalankan tugas mengikut Akta Penapisan Filem 2002 untuk menapis filem dan bahan publisiti filem yang “disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional)” kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet.

“Pulau” yang bakal ditayangkan 9 Mac ini dikecam pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan filem itu, berdasarkan treler 2 minit 36 saat yang ditayang di media sosial rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas minggu lalu.

Filem itu diterbitkan oleh WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio.

Treler “Pulau” dikecam antara lain kerana memaparkan watak wanitanya berbikini selain adegan intim antara sepasang kekasih.

Berdasarkan hebahan sinopsisnya, “Pulau” mengisahkan tentang percutian sekumpulan anak muda yang bertukar ngeri selepas mereka bermalam di sebuah pulau misteri.

Antara yang membantah tayangan filem “Pulau” berdasarkan treler yang mereka tonton ialah bekas timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari PAS dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Dalam kenyataannya, LPF juga menyebut ia menghargai pandangan dan maklum balas orang ramai berkenaan dengan penapisan filem terutamanya yang membina dan berdasarkan pada “keseluruhan kandungan sesuatu filem”.

“LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan,” kata lembaga itu.

Dalam pada itu, penerbit “Pulau” Fred Chong menyeru orang ramai supaya menonton filem itu terlebih dahulu sebaik ditayangkan, sebelum mengkritik.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, menteri yang bertanggungjawab atas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), menegaskan penapisan filem adalah bidang kuasa LPF bawah Kementerian Dalam Negeri.

Kontroversi treler “Pulau” timbul ketika Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution baru saja meluluskan klasifikasi baharu penapisan filem yang akan berkuat kuasa 1 Februari ini. – 19 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen