LEMBAGA Penapisan Filem (LPF) memperkenalkan kategori baharu klasifikasi penapisan filem mengikut umur penonton yang lebih terperinci, tambahan kepada tiga kategori sedia ada yang berkuat kuasa sejak 10 tahun lalu.
Klasifikasi baharu itu menurunkan had umur bimbingan ibu bapa dan penjaga kepada 12 tahun, melonggarkan kategori umur 13 tahun dan memperkenalkan kategori 16 tahun, menurut warta kerajaan yang diterbitkan minggu lalu.
Peraturan klasifikasi baharu penapisan filem itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pada 3 Januari mengikut kuasa yang diberi kepadanya melalui Akta Penapisan Filem 2002.
“Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2023,” kata Saifuddin dalam warta kerajaan bertarikh 9 Januari.
Dua kategori sebelum ini iaitu ‘U’ (semua peringkat umur) dan ‘18’ (penonton berumur tidak kurang 18 tahun) kekal.
Warta berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan dengan terperinci perkara yang menyebabkan sesebuah filem jatuh ke mana-mana kategori.
Pengerusi LPF Mohd Dusuki Ya’acob yang dihubungi untuk penjelasan enggan mengulas lanjut.
“Menteri Dalam Negeri akan beri penjelasan tidak lama lagi,” kata pegawainya, memetik pesanan Dusuki kepada The Malaysian Insight.
Klasifikasi filem pertama kali diperkenalkan sebelum Merdeka, iaitu pada 1953, dengan dua kategori iaitu ‘Tontonan Umum’ dan ‘Untuk Orang Dewasa Sahaja’.
Mulai 1996, ia diubah kepada U dan 18, yang dibahagi pula kepada empat kategori kecil iaitu 18SG, 18SX, 18PA, dan 18PL.
18SG ialah bagi filem yang mengandungi unsur-unsur ganas atau seram tetapi tidak keterlaluan manakala 18SX mengandungi unsur-unsur seks tetapi tidak keterlaluan.
18PA pula bagi filem yang menyentuh aspek-aspek agama, sosial dan politik, sementara 18PL mengandungi gabungan dua atau lebih unsur-unsur ganas, seram dan seks.
Peraturan ditambah baik pada April 2010 menjadi hanya tiga kategori iaitu U, PG13 dan 18, sebelum diubah kepada yang dipakai sekarang iaitu U, P13 dan 18 mulai Januari 2012.
Biarpun melaksanakan sistem klasifikasi mengikut, LPF sehingga ini masih membuat potongan ke atas filem sebelum dibenarkan untuk tayangan kepada umum. – 16 Januari, 2023.
Komen