Wajarkah penapisan filem kekal bawah Kementerian Dalam Negeri?


Daniyal Kadir

BADAN penapisan filem diakui menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam pengurusan industri filem di Malaysia. Kerangka perundangan penapisan filem di Malaysia mempunyai sejarah panjang dan perkaitan rapat dengan apa yang dilaksanakan ketika era penjajahan British.

Beberapa komponen utama perundangan lama berkenaan masih dapat dinilai dan dikesan wujud dalam Akta Penapisan Filem 2002. Antara komponen paling ketara berkenaan termasuklah meletakkan tugas penapisan filem di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penapisan filem pada zaman British mempunyai beberapa garis jelas yang menetapkan ia harus berada di bawah KDN. Ini termasuk melihat filem sebagai alat propaganda menyerap ideologi yang bertentangan dengan pemerintah.

Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas semasa era darurat dan perang dingin yang menyaksikan ideologi kiri dan kanan bertembung secara ketara.

Namun dalam era yang jelas sama sekali telah berubah dan perang ideologi tidak lagi menjadi keutamaan dan kepentingan dalam dunia, adakah wajar untuk badan penapisan filem negara masih diletakkan di bawah kawalan KDN?

Persoalan ini mungkin mempunyai dimensi jawapan yang pelbagai, malah sudah tentu ada pro dan kontranya yang tersendiri. Meletakkan penapisan filem di bawah KDN seolah-olah membuatkan kita mengutamakan aspek keselamatan apabila melaksanakan penapisan, bukan menjadikannya sebagai domain komunikasi atau seni budaya.

Kita tidak perlu pergi terlalu jauh untuk melihat reformasi penapisan filem, cukup untuk kita melihat dua negara paling hampir dan mempunyai struktur sosiopolitik hampir sama dengan kita iaitu Singapura dan Indonesia.

Singapura misalnya diketahui mempunyai prinsip penapisan filem yang tegas khususnya dari sudut kandungan berbaur politik. Namun, penapisan filem tidak diletakkan di bawah kawalan keselamatan dan pihak berkuasa yang menjaga hal ehwal dalam negeri, sebaliknya penapisan filem diletakkan di bawah payung Infocomm Media Development Authority (IMDA), sebuah badan berkanun yang diberikan mandat oleh kerajaan negara berkenaan untuk mengawal selia hal ehwal pembangunan digital, media dan kandungan perfileman.

Ertinya, pelaksanaan pembangunan industri filem dan badan penapisannya berada di bawah payung yang sama dan diletakkan dalam domain komunikasi.

Indonesia pula meletakkan Lembaga Sensor Film (LSF) di bawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi dengan menawarkan autonomi yang cukup tinggi kepada Lembaga berkenaan.

Berdasarkan kepada peraturan-peraturan penapisan filem yang ada, kita dapat melihat bagaimana LSF dapat berfungsi secara sendiri dan peletakannya di bawah kementerian berkenaan tidak memberikan pengertian keputusannya mempunyai campur tangan politik, sebaliknya peletakan berkenaan hanya sebagai medium untuk memudahkan urusan penyaluran belanjawan dan urusan-urusan lain yang berkaitan termasuk pengurusan sumber manusia dan pentadbiran.

Secara langsung kita melihat bahawa Indonesia juga tidak meletakkan penapisan filem di bawah domain keselamatan, sebaliknya memilih domain seni budaya.

Sehubungan itu, badan penapisan filem di Malaysia yang dikenali sebagai Lembaga Penapis Filem (LPF) dilihat tidak sesuai untuk berada di bawah kawalan kementerian yang melaksanakan tugas keselamatan memandangkan filem tidak seharusnya dilihat dari kaca mata keselamatan.

Tambahan pula berdasarkan satu trend yang panjang, kita dapat menyaksikan bahawa amat jarang filem-filem yang dihasilkan di negara ini mencuit elemen keselamatan. Kebanyakan pembikin filem di Malaysia juga mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap kematangan dan kebertanggungjawaban mereka mengenai kandungan yang dihasilkan.

Melalui cara fikir pembikin filem yang seperti ini, perubahan awal perlu digerakkan untuk memindahkan kawalan penapisan filem untuk berada di bawah kementerian atau agensi yang lebih sesuai serta mempunyai perkaitan rapat dengan domain perfileman seperti komunikasi dan seni budaya.

Terdapat satu keperluan mendesak untuk memastikan payung industri perfileman negara benar-benar menaungi keseluruhan aspek perindustrian. Kita tidak mahu melihat industri ini terpecah-pecah dengan kepelbagaian badannya diletakkan di bawah kawalan pelbagai pihak.

Memandangkan pada masa ini industri perfileman berada di bawah kaca mata Kementerian Komunikasi dan Multimedia, maka adalah sangat sesuai untuk badan penapisan filem negara turut diletakkan di bawah kementerian yang sama.

Malah usaha ini secara tidak langsung akan menggerakkan inisiatif lebih besar untuk menghimpunkan keseluruhan agensi-agensi lain dalam industri kreatif untuk berada di bawah satu payung.

Konsolidasi seperti ini memberikan manfaat dari segi kecekapan pengurusan dan ketelusan maklumat.

Perubahan struktural seperti ini akan mengubah secara positif falsafah dan kaedah penapisan filem dan ia sudah tentu akan memberi keutamaan lebih besar terhadap konteks dan elemen seni dalam filem.

Ia juga akan memastikan pembikin filem dapat bergerak dengan lebih baik dari segi kebebasan kreatif dan dalam masa sama memastikan kita mempunyai sebuah penapisan filem yang lebih telus serta terbuka.

Misalnya di Singapura laporan penapisan filem yang sensitif, misalnya filem yang diharamkan atau mendapat klasifikasi tinggi boleh dibaca oleh masyarakat umum, malah masyarakat juga boleh menilai secara luas sebab sesebuah filem itu diharamkan atau menerima klasifikasi tinggi.

Walaupun dengan bentuk penapisan yang ketat, termasuk menjadi antara negara utama dunia yang sering melaporkan kandungan di Netflix, tetapi Singapura masih dilihat telus dalam memaparkan maklumat penapisan filem.

Jika kita mahu maju dalam arena perfileman dan mempunyai sistem penapisan filem berkualiti tinggi, maka Singapura mungkin boleh menjadi negara pengukur yang baik untuk keadaan ini memandangkan kita berkongsi latar sosiopolitik yang sangat dekat.

Namun begitu, perubahan ini bukan semata-mata berada di tangan pemerintah, tetapi tanggungjawab paling besar adalah pada bahu pembikin filem. Jika mereka tidak berminat untuk bersuara tentang situasi penapisan filem yang kita hadapi, maka pada siapa lagi kita boleh harapkan perubahan ini boleh berlaku?

Mungkin pembikin filem di Malaysia boleh mencontohi rakan-rakan di Indonesia yang bergerak secara kolektif melaksanakan tindakan bersifat perundangan yang akhirnya menjadi pemula kepada perubahan penapisan filem di Indonesia.

Walaupun perubahan yang berlaku itu perlahan, namun ia masih satu perubahan dan ia masih perlu diraikan. – 16 Januari, 2022.     

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen