3 tahun tertangguh, FreedomFilmFestival kembali dianjurkan


Raevathi Supramaniam

Pengarah Eksekutif FreedomFilmFestival Anna Har berkata penonton dialu-alukan untuk hadir secara langsung dan terlibat dengan festival itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2022.

SELEPAS tiga tahun ditangguhkan, FreedomFilmFestival akan kembali dianjurkan dengan mengetengahkan 34 filem dan dokumentari daripada pembuat filem tempatan serta antarabangsa.

Festival anjuran Freedom Film Network (FFN) itu akan diadakan di PJ Live Arts, Petaling Jaya bermula 9 hingga 17 September. Ia akan menampilkan filem bertemakan “Pandemik Dua Darjat”.

Pengarah festival, Anna Har, berkata pihaknya begitu teruja untuk mengalu-alukan penonton hadir secara langsung dan terlibat dengan acara tersebut.

“Saya sangat berharap kepada perkara itu. Festival ini adalah perhimpunan rakyat. Keseronokan dan keajaiban adalah apabila orang ramai berkumpul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sentimen itu juga dikongsi penaung FFN, katanya.

“Orang ramai gembira kerana ia kembali dianjurkan dan saya rasa penerimaannya setakat ini positif tetapi tidak dapat menjangkakan hingga hari kejadian.

“Saya rasa kira-kira 150 hingga 250 orang akan hadir untuk setiap tayangan. Dewan boleh memuatkan sehingga 300 orang, tetapi secara purata dengan Covid-19 jumlah 150 adalah cukup baik,” katanya.

Daripada 34 filem yang akan ditayangkan tahun ini, 19 adalah karya anak tempatan dan disokong FFN manakala empat filem menerima geran berjumlah RM14,000 untuk menerbitkan filem dan dokumentari mereka.

Selebihnya, antara lain adalah dari Kenya, Romania, China, United Kingdom (UK), Myanmar, Filipina, Thailand, Indonesia dan Kemboja.

“Ada sorotan pada festival itu dan kebiasaannya filem Malaysia. Kami harap ramai akan hadir,” kata Har.

“Walaupun terdapat filem yang memenangi anugerah dan filem antarabangsa, filem Malaysia paling mendapat perhatian.

“Tahun ini kami mempunyai empat geran dan filem ini akan ditayangkan pada Hari Malaysia, 16 September. Ini kebiasaannya menjadi acara kemuncak festival itu.”

FreedomFilmFestival akan menayangkan 34 filem tahun ini termasuk 19 karya anak tempatan yang disokong FFN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2022.

Har berkata FFN memutuskan tema “Pandemik Dua Darjat” kerana Covid-19 menjelaskan sebahagian orang mengalami tempoh yang lebih sukar daripada yang lain.

“Ia (wabak) menjelaskan terdapat banyak ketidaksamaan dalam masyarakat kita sekarang yang perlu ditangani.

“Beberapa filem yang kami susun, ia hebat, ia menarik, dramatik dan direka dengan baik. Ia datang daripada kehidupan sebenar (pengalaman).” – 28 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen