Pakatan, BN sedang burukkan Perikatan menjelang pilihan raya negeri, kata Wan Saiful


Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata PN lebih popular serta diyakini oleh rakyat berbanding PH dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedang memburuk-burukkan imej Perikatan Nasional (PN) sebagai antara strategi utama mereka untuk menghadapi enam pilihan raya negeri tidak lama lagi, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Beliau mendakwa PH dan BN menyerang keperibadian Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain gabungan itu yang popular dan lebih diyakini oleh rakyat.

“Pembunuhan karakter ini tidak perlu hingga ranap sepenuhnya. 

“Jika mereka boleh menghasut rakyat mengatakan Muhyiddin dan pemimpin PN sama sahaja dengan PH-BN, itupun mereka akan anggap sudah berjaya. 

“Mereka sudah berjaya jika rakyat mempersoalkan PN,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mendakwa PH dan BN sedang “menyucikan kluster mahkamah”, terutamanya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan di mahkamah atas puluhan tuduhan penyelewengan.

Merujuk ucapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini mengenai cubaan tekanan terhadap badan hakim, Wan Saiful menyeru rakyat bersama-sama mempertahankan integriti institusi perundangan daripada sebarang serangan.

Beliau bimbang akan kemampuan pimpinan PH dan BN untuk menyalahguna kuasa, dan merujuk antaranya sabitan mahkamah ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun lalu kerana campur tangan dalam urusan agensi antirasuah dan polis.

“Sekarang Anwar dan Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara. 

“Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguat kuasa untuk menyiasat dan menekan, dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?

“Kita tahu agensi-agensi perundangan kita bekerja dengan ikhlas dan mereka mahu bebas bekerja. Tetapi gabungan Anwar dan Zahid memang ada rekod yang jelas mempergunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi,” katanya. – 15 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen