Selangor akan semak, selesaikan bantuan mangsa banjir Hulu Langat, kata Sany


Noel Achariam

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan berkata berdasarkan data ketua kampung kira-kira 1,269 mangsa di tiga kawasan Hulu Langat masih belum menerima pampasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2023.

UNIT Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor akan menyemak status bantuan mangsa banjir yang dijanjikan kerajaan terdahulu, kata Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan.

Beliau berkata berdasarkan data ketua kampung kira-kira 1,269 mangsa di tiga kawasan masih belum menerima pampasan.

“Kami akan membentangkan senarai mereka yang masih belum menerima bantuan ke ICU pada hujung bulan ini.

“Kami mahu ICU menyemak status permohonan mereka dan apakah punca mereka tidak mendapat bantuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mangsa banjir di Taman Sri Nanding mempersoalkan berkenaan bantuan RM5,000 yang dijanjikan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob lebih setahun lalu.

Dilaporkan pada 31 Disember 2021 bantuan daripada ICU Jabatan Perdana Menteri akan disalurkan ke pejabat daerah dan tanah sebelum diagihkan kepada penerima.

Sany berkata pegawainya yang menghadiri taklimat bersama pengarah ICU Selangor semalam diberitahu mereka yang menyerahkan borang bantuan sudah pun menerima bayaran.

“Namun isunya ialah mereka yang meminta bantuan masih belum menerimanya.

“Kami diberitahu oleh pengarah apa yang disahkan (butiran penerima) yang diterima pusat kawalan operasi banjir digunakan untuk mengeluarkan bayaran bantuan.

“Isunya ialah bekas perdana menteri (Ismail) kata semua akan mendapat bantuan sehingga RM5,000. Tetapi Majlis Daerah Hulu Langat tidak mendapat sebarang kriteria khusus (mengenai bantuan itu).”

Kereta yang ditenggelami banjir tahun lalu masih tersadai selepas setahun bencana itu melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2023.

Beliau berkata agensi lain turut mengeluarkan borang untuk bantuan itu, jadi mungkin terdapat permohonan pendua.

“Pengarah juga memaklumkan permohonan bantuan ditutup pada Februari tahun lalu.

“Jadi kami memutuskan senarai mereka yang tidak menerima bantuan itu akan disemak dengan pangkalan data ICU Selangor,” katanya.

Penduduk yang terjejas berharap kerajaan baharu akan membantu dan memastikan bantuan dijanjikan sampai kepada mereka.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Sri Nanding Mohd Rozelan Alias ​​mendakwa hanya 80% daripada 1,300 keluarga menerima pampasan itu.

Hujan lebat pada 18 dan 19 Disember 2021 menyebabkan banjir teruk di Lembah Klang.

Hulu Langat merupakan antara kawasan paling teruk terjejas dengan paras air mencecah bumbung manakala rumah berhampiran sungai dihanyutkan arus deras.  – 13 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen