Gangguan bekalan air di 394 kawasan Lembah Klang


Menurut Air Selangor, bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2022.

SEBANYAK 394 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur and Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula 10 pagi ini.

Air Selangor dalam satu makluman di Twitter berkata gangguan itu susulan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) mengalami henti tugas sementara pada 4.30 pagi tadi.

Henti tugas sementara itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur semalam, katanya.

“LRA Langat 2 dijangka akan mula beroperasi semula pada jam 3:30 petang, 11 Ogos 2022 bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan,” katanya.

Menurut Air Selangor, bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. 

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya.

Air Selangor berkata sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor melalui talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor. – 11 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen