AHLI Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan menuntut jawapan Putrajaya berkait bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding yang masih belum diterima sehingga hari ini.
Wakil rakyat yang baru dilantik itu berkata beliau sudah menemui penduduk dan ketua kampung kawasan berkenaan untuk membincangkan isu tersebut.
“Kami nak tahu apa statusnya sekarang (terhadap pampasan mereka). Dah setahun.
“Apa jadi pada RM5,000 yang dijanjikan pada 2021 oleh kerajaan sebelum ini (pentadbiran Ismail Sabri Yaakob)?
“Saya sudah hubungi ketua kampung berkait perkara ini. Kami akan cuba percepatkan prosesnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sany berkata beliau akan menemui pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) minggu depan bagi membincangkan perkara itu.
Dilaporkan pada 31 Disember 2021 lalu, bantuan daripada ICU, Jabatan Perdana Menteri itu akan disalurkan ke pejabat tanah dan daerah sebelum ia diagihkan kepada penerima.
Perdana menteri sebelum ini Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan itu akan melibatkan wang tunai RM2500 untuk pembelian peralatan rumah, rebat penggantian kenderaan RM1,000, baucer elektrik RM500, bantuan baik pulih rumah akibat banjir antara RM5,000 hingga RM15,000.
Sekitar 20% mangsa banjir di Taman Sri Nanding masih menanti pampasan dijanjikan Putrajaya setahun selepas rumah mereka musnah dalam bencana itu.
Dakwa penduduk, mereka sepatutnya menerima sehingga RM5,000 daripada kerajaan Persekutuan.
Penduduk berharap kerajaan baharu akan membantu mereka dan memastikan bantuan dijanjikan itu diserahkan kepada mereka.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Sri Nanding Mohd Rozelan Alias mendakwa hanya 80% daripada 1,300 keluarga menerima pampasan tersebut.
Dalam pada itu Sany berkata mangsa banjir itu perlukan penjelasan atas kelewatan penyaluran bantuan itu.
“Ada yang kata borang mereka tidak lengkap dan beberapa seab lain. Kami tak tahu apa jadi jadi kita kena cari tahu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua Edry Faizal berkata beliau cuba membangkitkan perkata itu kepada ICU Selangor namun tidak berjaya.
Kata Edry selepas mesyuarat dengan penduduk tahun lalu, beliau dapati kira-kira 300 mangsa masih belum menerima pampasan tersebut.
“Saya hubungi ICU pada Julai lalu dan mereka kata sesetengah penduduk tidak mematuhi syarat tertentu untuk mendapatkan bantuan itu.
“Sementara yang lain itu tidak berdaftar dalam pangkalan mereka,” katanya.
Katanya pada Ogos unit itu mengadakan satu mesyuarat dan penduduk terlibat masih belum menerima bantuan mereka.
“Komunikasi kami dengan ICU berakhir pada September apabila pegawai yang terlibat berkata mereka tidak lagi uruskan isu itu.
“Mereka minta hubungi Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara). Tapi Nadma tak uruskan bantuan.
“Kemudian kerajaan (pentadbiran Ismail Sabri) yang janjikan bantuan itu dibubarkan,” katanya.
Edry berharap kerajaan baharu akan mengambil tindakan sewajarnya dan mengagihkan baki bantuan tersebut. – 8 Januari, 2023.
Komen