Iran hukum gantung 2 lagi penunjuk perasaan kematian Mahsa Amini


IRAN terus menerima kecaman antarabangsa selepas Sabtu lalu menghukum gantung dua lelaki yang disabitkan bersalah membunuh seorang anggota separa tentera dalam tunjuk perasaan besar-besaran pada November tahun lepas.

Tunjuk perasaan tercetus ekoran kematian Mahsa Amini di bawah tahanan polis tatatertib September lalu kerana didakwa melanggar peraturan memakai tudung.

Ini menjadikan seramai empat orang sudah dikenakan hukuman mati sejak bantahan memuncak sejak kematian Amini.

Agensi berita badan kehakiman Mizan Online melaporkan Mohammad Mehdi Karami dan Seyed Mohammad Hosseini, yang didapati bersalah membunuh pegawai separa tentera Ruhollah Ajamian, digantung sampai mati pada awal pagi Sabtu.

Pendakwa raya berkata Ruhollah, 27, dibogelkan dan dibunuh sekumpulan orang yang sedang berkabung dan memberi penghormatan kepada Hadis Najafi, wanita berusia 20 tahun yang mati ditembak semasa tunjuk perasaan atas kematian Amini pada September tahun lalu. 

Pelaksanaan hukuman mati ke atas Mohammad dan Seyed menentang kempen yang dilancarkan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi antarabangsa yang cuba menyelamatkan nyawa mereka.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam pelaksanaan hukuman mati itu, yang disifatkan dijatuhkan selepas perbicaraan yang tidak adil berdasarkan pengakuan secara paksa. – AFP, 9 Januari 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen