Gagal menahan diri daripada mengagumi Anwar Ibrahim


Naim Al-Kalantani

SATU yang tidak dapat dinafikan mengenai Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim (DSAI) ialah bagaimana dia dapat mengawal persepsi masyarakat awam dengan berkesan.

Keberkesanan ini bukan datang daripada auranya semata-mata, tetapi daripada perbuatan dan langkah yang diambil selepas sahaja pengumuman keputusan PRU15.

Sebermula daripada Pakatan Harapan (PH) tidak beroleh kemenangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Anwar dengan lagak bersahaja melayani media dengan santun dan humornya. Dia tidak dilihat seperti menunjuk-nunjuk sebenarnya apa yang difikirkan dan apa yang dibincangkan dalam kalangan partinya dan parti lawan.

Sebaliknya di parti lawan seperti Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang, mereka ini bersungguh benar menunjuk kemenangan milik mereka dan memang nampak jelas mahukan kuasa dan ghanimah kekal di tangan mereka.

Di perkarangan Istana Negara pada 22 November, kenderaan dipercayai dinaiki Muhyiddin menderu laju meninggalkan pengamal media di belakang. Tapi tidak bagi Anwar – kita tidak tahu apa yang terjadi dalam istana dan perbincangan dia dengan raja – dia tetap berhenti di tepi jalan untuk menyantuni pengamal media yang sedang berpanas terik.

Menarik di sini media ketika itu, tiada seorang pun yang betul-betul pasti adakah mana-mana pimpinan politik akan berhenti melayani mereka. Semua tindakan mereka adalah berdasarkan insting semata-mata – memacak kamera dan perakam suara tanpa tahu pun sebenarnya ada atau tidak sidang media yang akan berlangsung.

Tindakan Anwar masa itu sangat bijak, dia berhenti dan terus menuju ke arah media. Kita boleh baca gerak laku Muhyiddin dan Anwar pada masa ini. Seorang mengelak daripada dirapati bahkan tidak membuka tingkap sekalipun, seorang lagi turun dengan tenang menjawab soalan wartawan.

Dan sebenarnya dalam lima minit sidang media tersebut pun, rakyat masing-masing tidak jelas sebenarnya apa yang jadi di dalam istana. Yang kita hanya tahu hanya dua perkara: Yang di-Pertuan Agong saran wujudkan kerajaan perpaduan, dan kedua, masih ada kekosongan jawatan perdana menteri ke-10.

Ucapan pada sidang media pertama Anwar selepas menjadi PMX sangat jitu dan ringkas. Satu Malaysia terkejut dia boleh jawab panggilan telefon masa sidang media. Mahu tidak mahu, saya terpaksa buat telahan semua ini sebenarnya dirancang.

Sebelum Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telefon, paling tidak sudah ada seorang pemimpin negara lain yang ucapkan tahniah kepadanya, tetapi rakyat terbanyak tidak tahu. Pada sidang media tersebut, seperti mana diketahui, ia siaran langsung di televisyen perdana. Perancangan ini berjaya, dia menjawab panggilan Erdogan pada masa dan tempat yang tepat.

Ia ditayangkan secara langsung kepada rakyat terbanyak di Malaysia betapa besar rangkaian yang dia ada – tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia menelefonnya untuk mengucapkan tahniah.

Langkah ini bijak dan penting. Ia bijak kerana Anwar sedar apa yang perlu dan tidak perlu untuk beliau persembahkan kepada orang awam. Ia penting kerana perlu ditunjukkan kepada pihak lawan betapa dia punyai kredibiliti melangkaui negara besar.

Pada sidang media, poin penting hanya satu – kos sara hidup rakyat akan dipulihkan. Dia tidak bercakap soal yang gigantik dan perubahan dasar drastik, tetapi fokusnya terhadap rakyat terbanyak itu lebih utama.

Langkah Anwar nampak teratur. Walaupun ada yang “tergelecoh” sedikit, tapi ia dapat dikelabui oleh langkah yang lain. Masa sidang media awal di Perdana Putra, ia “menundukkan” taikun depan rakyat. Dia dapat slow talk dengan Syed Mokhtar Akbukhary dan taikun tersebut dapat mengeluarkan puluh juta ringgit untuk mengembalikannya kepada rakyat.

Saya yakin dia dan Syed Mokhtar tiada apa-apa masalah dan sebenarnya mereka berbincang panjang lebar mengenai hal ini. Tetapi penggunaan perkataan dan susunan untuk menerangkan hal tersebut, ia satu langkah yang menjadikan petanda awal rakyat kita gagal menahan diri daripada mengagumi Anwar.

Pengawalan media oleh Anwar daripada 22 November itu sangat bijak. Walaupun ada menterinya yang masih tidak kompeten lagi mengawal media – dan beberapa menteri juga sudah tersadung – tetapi tidak bagi Anwar.

Dia meneruskan persembahan ini dengan menyantuni kunjungan dari luar negara dan rakyat terbanyak dapat tahu mengenai ini. Kunjungan ini menunjukkan dia memang ada kredibiliti menjalinkan hubungan dengan negara luar. Sehinggakan Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kepada Anwar, “please, call me Justin.”

Ayat yang terpacul daripada Trudeau itu sudah menggambarkan betapa ia dapat menyentuh perasaan manusia dan ini tidak boleh diukur dengan metrik.

Dalam sebulan ini, banyak kali Anwar menerima panggilan telefon mengucapkan tahniah kepadanya dan dikunjungi pemimpin. Mungkin kita tidak terfikir satu hal, Anwar masih tidak lagi ke luar negara setakat hari ini.

Saya percaya, dalam masa terdekat, atau sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun, Anwar tidak akan ke luar negara. Dalam tempoh ini, kalau dia melangkah saja ke luar walaupun atas urusan rasmi, langkah tersebut boleh mengakibatkan kesan calar pada kerajaan yang baru nak menunjuk kebolehannya.

Dan lagi, Anwar dengan bersahaja membuka Seri Perdana untuk kegunaan keilmuan. Sekali lagi perasaan manusia disentuh. Langkah ini merupakan langkah popular untuk menyentuh hati rakyat dengan membawa ulama dan majlis keilmuan merapati bangunan gah tersebut.

Terbaru, Anwar menjemput ahli Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan kumpulan G70 ke Seri Perdana. Bukan sahaja bidang keilmuan agama dirapatinya, bahkan pasukan pemikir ulung tempatan dalam dunia akademik dan sains juga menjadi tumpuan.

Ucapannya dalam program pada Khamis menunjukkan betapa dia mengikuti isu akademik dan pertumbuhan wacana yang menyeluruh dalam apa-apa ilmu sekalipun.

Kalau sudah biasa mengikuti ucapannya yang dipersembahkan ke hadapan khalayak kecil atau berbual dengannya, sebenarnya isi kandungan yang dia ucapkan itu tidak asing baginya. Tapi apabila dia boleh memetik Shakespeare bersekali dengan teguran ayat Al-Quran di Parlimen; dan memetik Najatullah Siddiqi ketika berhadapan dengan akademia dan inteligensia di Seri Perdana; mungkin kini ada yang sudah pengsan dalam merasa kagum kepada Anwar.

Lihat, bagaimana Anwar dapat mengawal persepsi orang ramai melalui media. Lihat sahaja di Facebook dan Twitter beliau. Video dan naratif yang dibangunkan. Grafik yang ditunjukkan itu bukan daripada orang politik semata, tetapi bagaimana dia memperoleh satu pasukan gerakan pengiklanan dan pemasaran yang terbaik untuk mengedepankan naratifnya. Segala apa yang ditunjukkan di media sosial, ia sepertinya dikawal dan terkawal.

Walaupun ada beberapa isu seperti lantikan dalam GLC, tapi itu hanya dibincangkan golongan yang lain. Seperti yang saya banyak kali sebut kepada rakan-rakan saya; isu lantikan dalam GLC ini hanya kita saja yang bincangkan, orang Felda tak nak tahu pun cerita ni.

Yang mereka nak tahu adakah Anwar dapat sediakan telur dan kawal harga minyak di kedai runcit Mak Lijah depan rumahnya, dan sekarang dalam TV Anwar tengah buat apa.

Saya sebenarnya tidak mahu meromantiskan isu banjir kerana isu ini sensitif dan tidak patut dipolitikkan. Tetapi mahu tidak mahu, saya terpaksa nyatakan tindakan Anwar ke Kelantan dan menjawab soalan wartawan mengenai banjir di Pantai Timur itu sangat memberi kesan kepada masyarakat terbanyak.

Anwar bertemu Menteri Besar Ahmad Yakob dan gesturnya begitu mesra dengan pemimpin itu dan ditambah lagi kemesraannya bersama rakyat Kelantan merupakan langkah yang tepat untuk mencuri hati rakyat di sana.

Banyak polisi dan perkara yang tiba-tiba dilakukannya. Kebanyakannya sampai ke akar umbi, tetapi tidak dinafikan ada yang masih tidak sampai. Dengan semua tindakan ini, kita mulai terfikir, sebenarnya apa yang dilakukan oleh Anwar ini tidak mustahil dilakukan oleh pemimpin terdahulu.

Tidak dinafikan ada beberapa langkah popular yang diambil. Tetapi itulah yang diperlukan sekurang-kurangnya buat masa ini bagi menunjukkan kebolehan PMX ini. Anwar tidak boleh berhenti ketika ini dan masih perlu bekerja keras kerana dalam masa lima tahun ini.

Beliau perlu menjaga kekaguman masyarakat kepada diri dan kerajaannya. – 23 Disember, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen