PKR perlu belajar komunikasi dari DAP


Naim Al-Kalantani

SEMINGGU sudah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai ahli Kabinet, 28 orang yang sebelum ini kita sudah tahu pengalamannya, dan juga kita masih tertanya-tanya kelayakan individu tersebut berada di posisi kementerian tersebut.

Antaranya muka-muka baru muncul di kementerian paling panas iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Fadhlina Sidek. Diumumkan saja nama Fadhlina oleh Anwar pada Jumaat lalu, terus saya rasa ia sesuatu yang baik dan menarik. Bapanya orang Abim. Tokoh yang disegani. Anaknya pula aktivis, lantang di Dewan Negara dan di luar.

Orangnya muda dan perwatakannya tegas di luar tetapi lembut di dalam.

KPM jadi fokus penting walaupun siapa pun yang mentadbir negara ini. Dulu kita ada Dr Maszlee Malik, seorang ilmuwan dan ahli akademik yang disegani. Sebelum menjawat menteri pun, saya sudah ikuti agak lama perkembangan Maszlee dan rakyat fikir inilah menteri yang kita mahu.

Cikgu-cikgu di sekolah katanya ramai yang sayangkan Maszlee. Kekalahan Maszlee di Simpang Renggam sedikit sebanyak memberi kesan kepada warga pendidik.

Pun, cuba kita fikir balik di mana silapnya kepimpinan Maszlee semasa itu?

Masalah utamanya ialah komunikasi. Kita tahu Maszlee ini orang yang pandai bercakap. Terkadang, orang seperti ini bercakap tidak kemas (firm). Pegawai komunikasi KPM pada ketika itu banyak yang tidak berguna daripada berguna.

Kena sedar dan kena akui, selesai angkat sumpah sahaja, benda pertama yang perlu diselesaikan ialah bagaimana menteri itu mahu menyampaikan maklumat kepada orang terbanyak.

“Orang terbanyak” di sini bermaksud bukan orang yang sama pemikiran dengan kita—yang cerdik pandai, yang sudah kenal menteri sebelum dia jadi menteri lagi—tapi orang terbanyak ini masyarakat awam yang menghuni negara ini.

Mereka tak nak tahu pun berapa banyak sijil PhD yang kamu ada. Mereka tak nak tahu kamu belajar di mana. Mereka tak nak tahu ayah kamu siapa. Mereka tak nak tahu pun maksud “konglomerat” dan “cerakin”.

Yang mereka nak tahu adalah gambaran dasar dan polisi jangka masa pendek atau panjang lepas saja kamu angkat sumpah jadi menteri.

Yang dulu, asal jumpa media saja, bercakap tak berhenti. Terkeluar fakta-fakta yang bercelaru. Olahannya tak “firm”. Pegawai komunikasi pula tidak bertindak pantas dan tak beri taklimat. Mungkin pegawai mereka itu pun bukan datang dari bidang komunikasi pun. Mungkin kawan-kawan yang dikenali dilantik jadi PRO (pegawai perhubungan awam).

Kali ini datang pula Fadhlina ke padang KPM. Menteri pendidikan wanita pertama Malaysia. Dah seminggu, apa pun tak dapat lagi.

Kalau tak salah, antara orang yang pertama buat sidang media lepas jadi menteri ialah Rafizi Ramli. Menghadap media dan menjawab soalan-soalan daripada media. Ada soalan yang kukuh jawapannya, ada yang tidak, tapi itu bukan isunya lagi. Yang penting, Rafizi dan menang untuk peringkat pertama – kawal media.

Masa tu la dia boleh sembang apa dia nak buat (walaupun mungkin belum dia fikir lagi). Gambaran umum masa itu sangat penting. Kemunculan pertama dalam tv itu sangat beri kesan kepada masyarakat terbanyak ini tadi.

Saya sangat memuji pendekatan DAP khususnya Anthony Loke. Tak sampai seminggu orang dah label gerak kerjanya seakan-akan ‘Saidina Umar’. Mana tidaknya, kita jarang tengok menteri keluar buat kerja tanpa maklumkan pada media atau media dapat tahu. Tiba-tiba dia dah ada dalam tren, esoknya dia nyatakan apa masalah yang dia jumpa.

Dan sekarang, tepat seminggu, Loke dah berjaya kira lampu yang tak berfungsi di monorel dan LRT. Memang bukan dia yang kira pun, tapi data itu dia ada dan dengan pantas dia beritahu media, rakyat terbanyak terus terbayang bagaimana gerak kerjanya.

Sama seperti Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada hari pertama punch card pun, beliau nyatakan terus teras atau dasar ke mana hala tuju KPKT selepas ini. Ada tujuh kesemuanya. ‘Sembang’ atau tidak itu, bukan isunya lagi. Tapi orang ramai boleh lihat terus bagaimana gaya kemunculan pertamanya.

Banding pula dengan Fadhlina, di mana Kak Fadh sekarang?

Semalam jumpa di Pesta Buku Antarabangsa Selangor, merasmikan buku kanak-kanak. Saya berdiri di belakang sekali hampir 45 minit. Berdiri di sebelah media lain. Sambil-sambil catat isi penting yang dikatakan. Isinya memang terjurus kepada pelancaran buku tersebut tanpa sebut (sekurang-kurangnya selit) fasal polisi apa yang dia nak bawa untuk permulaan.

Habis program, kami bentuk satu “halangan” — buat satu perkumpulan supaya dia perasan yang media sudah menunggu. Geng media dah bersedia untuk “jolok” Kak Fadh apabila dia selesai beramah mesra dengan orang ramai. Bukan satu, tapi media rasmi pun ada sekali masa itu. Kebiasaannya geng media ni tak kisah kena sidai (walaupun ada rungutan) asalkan akhirnya akan dapat temu bual juga.

Tapi yang jadi kejutan, menteri baru ini, hindari kami. Bahasa kasarnya, dia “lari” keluar dan terus naik kereta mewah dan meluncur laju.

Saya tak nak cerita rincian sangat di sini sebab ada perkataan-perkataan yang tidak sedap didengari dalam kalangan kami. Tak pernah dibuat orang seorang menteri yang tidak bersedia macam ni walaupun kami sudah berjanji kepada pasukan Kak Fadh yang kami memang takkan tanya soalan provok. Paling tidak dia perlu hadap media dan cerita apa yang dia buat di program itu.

Tragedi ini mungkin nampak kecil dan saya dapat tahu ini kali kedua. Kali pertama ia dilaporkan oleh Sin Chew Daily, cerita yang sama. Tapi saya tak pasti rinciannya bagaimana sebab mereka tidak nyatakan tempat dan tarikh. Rupanya cerita itu berulang masa di pelancaran buku.

Saya tak pasti pasukannya perasan atau tidak, bermula angkat sumpah, kita tak boleh tengok lagi apa-apa kenyataan daripada menteri KPM ini. Tiba-tiba, ada satu pelancaran buku. Tiba-tiba, dia lari daripada media.

Sesibuk mana pun, setinggi mana pun pangkat menteri itu, benda pertama yang kena buat ialah kawal media dulu. Tak ada cara lain untuk kamu semua ini bagi tahu rakyat terbanyak ini mengenai kewujudan kamu di muka bumi ini.

Memang kamu sendiri ada Facebook dan media sosial lain. Tapi media massa ini, hanya wartawan dan paling penting media rasmi sahaja yang dapat tunjukkan kamu pada masyarakat terbanyak di bawah sana. Saya tahu kak Fadh dah keluarkan kenyataan pada Khamis malam, tapi apa poin dalam kenyataan tu?

Pengawalan media ini sangat penting. Saya fikir ini bukan salah Kak Fadh sepenuhnya. Tapi pasukannya—terutamanya PRO—perlu seseorang yang dah mahir. Masa ini bukannya masa untuk melatih pasukan. Masa ini dah tak boleh guna kad “dia masih baru, beri dia masa.” Kad mungkin laku untuk cendekiawan atau rakan-rakan yang memahami situasi, tapi rakyat terbanyak tadi tu, mereka tak nak tahu pun hal-hal ini.

Kegagalan komunikasi antara menteri dengan pihak orang awam—yang dijambatani oleh media ini merupakan satu benda yang kritikal. DAP laju buat kerja dan satu Malaysia dah tahu apa yang sedang menteri DAP buat sekarang walaupun mungkin (diulangi, mungkin) masyarakat terbanyak tak nak tahu fasal LRT tadi. Tapi masyarakat terbanyak dah tahu kewujudan Loke dan mereka boleh anggarkan ke mana hala tuju “bayangan Saidina Umar” ini.

Tak ada orang nak ‘terciduk’ awal. Antara faktor utama masalah di KPM di zaman Maszlee, adakah kita nak nampak ia berulang lagi? Kak Fadh antara orang yang saya paling teruja bila diangkat menjadi menteri.

Kalau nak menang, kena kawal media dulu. – 9 Disember, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen