Takiyuddin salahkan media keliru mengenai kerjasama Perikatan dengan BN


Setiausaha Agun PAS Takiyuddin Hassan menyalahkan media susulan kenyataannya berhubung kemungkinan PN bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

SETIAUSAHA Agung PAS Takiyuddin Hassan hari ini menyalahkan media kerana mengambil kenyataannya di luar konteks dengan melaporkan Perikatan Nasional (PN)sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum.

Beberapa jam selepas ditegur Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang menegaskan ia mahu menang sendiri dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan, Takiyuddin berkata beliau yakin PN mampu melakukannya.

“Merujuk kepada laporan media mengenai perkara ini, saya ingin menegaskan kenyataan saya diambil di luar konteks, dan tajuknya mengelirukan pengundi.

“Saya ingin menegaskan yang saya yakin PN boleh membentuk kerajaan persekutuan sendiri, dan perdana menteri adalah daripada PN.

“Dengan penjelasan ini, saya harap tiada lagi kenyataan berkaitan PN bekerjasama dengan BN. Kami di PN yakin dapat membentuk kerajaan sendiri selepas PRU15,” katanya dalam satu kenyataan.

Malam tadi, selepas selesai ceramah di Ketereh, Kelantan, Takiyuddin berkata beliau yakin PN boleh membentuk kerajaan sendiri atau bersama parti lain seperti BN.

“Apa yang pasti kita tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun kita memerlukan sekutu untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas ceramah itu.

Beliau berkata yakin BN bersetuju bekerjasama dengan PN.

“Kami belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka lagi, tetapi saya yakin BN akan bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun awal hari ini, Pengerusi PN Muhyiddin berkata gabungan itu tidak berminat untuk membentuk sebarang kerjasama dengan BN atau mana-mana entiti politik lain untuk membentuk kerajaan persekutuan jika memenangi pilihan raya umum.

Beliau berkata pakatan itu mahu membentuk kerajaan sendiri, menepis kenyataan Takiyuddin yang PN bersedia untuk bekerjasama dengan BN jika tiada parti memenangi majoriti.

“Tujuan PN adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu membentuk pakatan dengan BN atau PH.

“Saya tidak memberi sebarang mandat kepada Takiyuddin untuk mengadakan perbincangan dengan BN bagi membentuk kerajaan bersama selepas pilihan raya.

“Insya-Allah dan dengan sokongan rakyat, PN boleh memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan, serta membentuk kerajaan negeri di tiga negeri yang kita tandingi,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

PN dianggotai oleh PAS, Bersatu, STAR, SAPP dan Gerakan. Gabungan itu memeterai perjanjian perkongsian kuasa dengan BN berikutan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Hubungan PAS dan Umno kemudiannya menjadi renggang apabila ia memilih untuk bersekutu dengan Bersatu.

Menjelang PRU15, pemimpin PAS berbelah-bahagi mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Umno tetapi akhirnya bersetuju untuk kekal bersama PN dan Bersatu. – 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen