Perikatan sanggup bekerjasama dengan BN untuk bentuk kerajaan, kata Takiyuddin


Ceramah Perikatan Nasional di Keramat, Kuala Lumpur, yang pada malam Isnin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) bersedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya jika tiada parti yang memenangi majoriti, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin kita (PN) boleh membentuk kerajaan sendiri atau dengan pihak lain seperti BN.

“Apa yang pasti kami tidak akan bekerjasama dengan PH walaupun memerlukan sekutu untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas ceramah di Ketereh, Kelantan, malam tadi.

Takiyuddin berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang juga timbalan pengerusi PN, juga menyebut kemungkinan membentuk pakatan untuk majoriti selepas pilihan raya.

PN terdiri daripada PAS dan Bersatu yang memegang kuasa dengan BN pimpinan Umno berikutan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Hubungan PAS dan Umno kemudian menjadi renggang apabila ia memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Takiyuddin berkata beliau pasti BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PN semula.

“Kami belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka lagi, tetapi saya yakin BN akan bersetuju,” katanya.

Takiyuddin berkempen di Keterah, kerusi disandang Umno, yang tidak meletakkan penyandangnya Annuar Musa bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dipercayai menggugurkan Annuar kerana beliau rapat dengan puak PN.

Sementara itu, calon PN Ketereh, Khlir Mohd Nor menggesa penyokong Annuar mengundinya.

“Saya nampak pengundi Ketereh semua sayangkan bekas ahli Parlimen mereka. Jadi saya menggesa mereka mengundi saya untuk menghantar mesej kepada BN yang mereka melakukan kesilapan dalam menggugurkan Annuar,” katanya.

Di Kelantan, pencabar utama PN ialah BN walaupun PH dan Gerakan Tanah Air turut bertanding di 14 kerusi persekutuan negeri itu.

Kelantan tidak mengadakan pilihan raya negeri sehingga tahun depan. – 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen