CALON PKR, Saraswathy Kandasami dan calon Barisan Nasional (BN) M. Saravanan sebenarnya ada sejarah yang panjang sebelum mereka mula berentap merebut kerusi Parlimen Tapah di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Saraswathy yang menyertai PKR pada Ogos 2020 memberitahu The Malaysian Insight mereka saling tidak bersefahaman sejak lima tahun lalu, membawa kepada beberapa kes dibawa ke mahkamah.
“Kami sudah lama berjumpa di mahkamah sejak lima tahun lalu kerana beliau menyaman saya dan memfailkan pelbagai tindakan terhadap saya,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Peguam kelahiran Pulau Pinang itu yang juga calon kali pertama pilihan raya, berkata beliau bersedia untuk melawan Saravanan, penyandang Tapah kerana beliau merasakan Saravanan bukan ancaman besar terhadap cita-cita politiknya.
“Jika anda tanya saya, saya tidak rasa beliau (Saravanan) satu nama yang besar,” katanya yang juga naib presiden PKR itu.
“Hakikat yang beliau seorang menteri atau timbalan presiden MIC, ia tidak ada kesan terhadap saya.”
Beliau berkata tekanan sebaliknya ada pada Saravanan, kerana dakwanya kawasan itu tidak membangun walaupun Saravanan menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal di situ.
“Orang lain pegang kerusi itu dua penggal maksimum tetapi jika beliau (Saravanan) bertanding, ini akan jadi penggal keempat untuknya.
“Ada risiko besar kerana rakyat akan cenderung mengukur pencapaian anda di situ.
“Beliau sangat lantang bertanya apa Pakatan Harapan buat dalam tempoh 22 bulan memerintah, tetapi kami juga boleh beri soalan sama. Apa yang beliau buat sepanjang 15 tahun di Tapah,” katanya.
Saraswathy yang dijangka menjadi satu-satunya calon wanita bertanding di kawasan itu, turut mendakwa Saravanan menyalahgunakan kedudukannya dengan berkempen di Tapah menggunakan dana kerajaan.
“Saya nampak ada banyak karnival pekerjaan, pelbagai program ada sekarang selepas Parlimen dibubarkan.”
Setakat ini, dilaporkan Parlimen Tapah bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Selain Saraswathy dan Saravanan, calon lain ialah Muhammad Yadzan Muhammad daripada Perikatan Nasional (PN), Mior Nor Haidir Suhaimi (Pejuang) dan Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin (Warisan).
Tapah mempunyai 28,000 pengundi Melayu, Chinese (14,000), Orang Asli (9,700) dan India (8,500). Walaupun ia kerusi majoriti Melayu, tetapi Tapah sekian lama menjadi kubu kuat BN-MIC.
Semua calon yang pernah memenangi Tapah adalah daripada MIC, parti India yang juga parti komponen BN.

Tapah bukan lagi kubu kuat BN
Saraswathy berkata kawasan Parlimen Tapah, kerusi luar bandar, tidak boleh lagi dianggap sebagai kubu kuat BN.
Merujuk kepada keputusan pilihan raya sebelum ini bagi kawasan itu, Saraswathy berkata kemenangan BN banyak bergantung kepada 9,000 undi Orang Asli tetapi mendakwa arus kali ini mungkin berubah.
“Tapah selama ini menjadi kubu kuat kerana sokongan Orang Asli. Mereka memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada BN.
“Tetapi ada perubahan dalam kalangan Orang Asli sekarang, di mana masalah mereka diabaikan dan mereka hanya digunakan sebagai bank undi.
“Ada banyak benda perlu dilakukan untuk mereka. Masyarakat Orang Asli juga mula menyedari mereka terpinggir dan tercicir.
“Sokongan mulai berkurangan kerana BN hanya menang majoriti 614 undi pada PRU14. Pada PRU 2008, BN menang lagi dengan 3,020 undi, pada 2013 (7,927) dan 614 pada 2018.
“Jadi, ia tidak boleh lagi dianggap kubu kuat BN,” kata Saraswathy.
Walaupun PH tidak memberikan tumpuan penuh kepada kerusi itu pada PRU14, pembangkang dapat menurunkan margin undi majoriti kepada tiga digit saja.
“Tidak ada nama besar berkempen di Tapah. (Calon perdana menteri PH pada masa itu) Dr Mahathir Mohamad tidak pergi, Azmin Ali tidak datang. Saya tidak ingat ada sesiapa berkempen di sana kerana ia sudah dianggap kubu kuat BN.
“Jadi walaupun tidak ada perhatian sangat diberikan ke kawasan ini, PH berjaya menurunkan undi majoriti BN.”
Berdasarkan kepada keputusan PRU lalu, Saraswathy berkata wujud tentangan daripada pengundi di Tapah untuk mengundi BN. – 5 November, 2022.
Komen