PKR namakan Saraswathy di Tapah, tamatkan rundingan dengan PSM


Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim turut mengumumkan calon PKR Hasni Abas akan bertanding di Sembrong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2022.

NAIB Presiden PKR K Saraswathy akan bertanding di kerusi Tapah atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Anwar Ibrahim hari ini.

Pengerusi PH itu juga berkata S Kesavan dari PKR akan mempertahankan kerusi Sungai Siput.

Pengumuman dua calon PKR ini bermakna perbincangan kerusi antara PH dan Muda (untuk Tapah) dan PSM (untuk Sg Siput) gagal.

Anwar turut mengumumkan calon PKR Hasni Abas akan bertanding di Sembrong.

PSM dalam satu kenyataan berasingan, mengesahkan rundingannya dengan PH bagi kerusi Sg Siput gagal dan parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk memutuskan tindakan seterusnya.

Sembrong adalah satu lagi kerusi yang ingin ditandingi Muda.

Awal hari ini, Ketua Muda Perak Mutalib Uthman mengumumkan beliau akan menjadi calon Muda di Tapah susulan perbincangan dengan PH.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian, Ketua Penerangan Muda Luqman Long menyangkal kenyataan itu sambil berkata setakat ini parti itu hanya mengumumkan akan bertanding di tiga kerusi selepas perbincangan dengan PH iaitu Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

Anwar juga mengulas mengenai pengumuman pemimpin Muda Perak itu, dengan mengatakan beliau dimaklumkan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kenyataan tersebut tidak mewakili partinya.

“Tapah adalah kerusi PKR. Bagi Muda, diputuskan selain Muar, mereka boleh bertanding di Tanjong Karang dan Tanjung Piai. Kerusi lain akan diumumkan kemudian,” kata Anwar ketika melawat Kampung Ulu Chemor hari ini.

Tapah adalah kubu kuat MIC/BN dan kerusi itu disandang Timbalan Presiden MIC M Saravanan sejak 2008.

Parlimen ini diwujudkan pada 1984 dan berada di tangan BN/MIC sejak pilihan raya umum 1986.

Pada pilihan raya umum lalu, Saravanan mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 614 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Setakat ini, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad menamakan calonnya, Mior Nor Haidir Suhaimi, untuk bertanding di Tapah.

Perikatan Nasional juga dijangka menamakan calon daripada PAS untuk kerusi ini. – 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen