Muda letak calon di Tapah, kerusi ke-4 lawan ‘heavyweights’ BN


Kata Mutalib kerusi itu diberikan kepada Muda selepas perbincangan dengan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2022.

IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) bakal meletakkan calon di Parlimen Tapah bagi menentang penyandang tiga penggal, M Saravanan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Calonnya, Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman mengumumkan perkara itu di Facebooknya hari ini.

Katanya, kerusi itu diberikan kepada Muda selepas perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang kini disandang oleh menteri sumber manusia sementara M Saravanan,” katanya.

Tambahnya, keputusan Muda itu bagi menyahut seruan perjuangan Muda melawan Menteri BN sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi partinya.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC telah menyandang kerusi itu sejak 2008 dan sejak PRU pada 1986, kerusi itu milik MIC-BN.

Pada PRU yang lalu, Saravanan mempertahankan kerusi itu dengan majoriti undi yang tipis dalam pertembungan tiga penjuru.

Setakat ini, Pejuang menamakan calonnya, Mior Nor Haidir Suhaimi untuk bertanding di Tapah.

Perikatan Nasional (PN) turut dijangka bakal meletak calon daripada PAS untuk kerusi itu.

Malam tadi Muda mengumumkan tiga calon di kubu kuat BN - Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

Kesemua tiga kerusi itu kawasan luar bandar di mana penyandangnya mempunyai portfolio di Kabinet.

Muda juga sedang dalam perbincangan dengan PH untuk bertanding di Sembrong yang disandang oleh menteri kanan sementara Hishammuddin Hussein.

Muda turut merancang untuk bertanding di Sabah namun belum diputuskan.

Minggu lalu, Muda dilaporkan meminta kurang 15 kerusi Parlimen daripada PH untuk PRU-15 ini.

Pada 12 Oktober lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda dalam PRU15.

Bagaimanapun, tambahnya, majlis presiden PH memutuskan ia akan berbentuk pakatan pilihan raya, bukannya menerima Muda sebagai parti komponen, kerana itu memerlukan kelulusan Pendaftar Pertubuhan. – 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen