Liow kembali ke Bentong demi lindung legasi


K. Kabilan

Liow Tiong Lai tewas mempertahankan kerusi Bentong pada 2018, walaupun ketika itu memegang jawatan presiden MCA dan menteri pengangkutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2022.

SEDIKIT imbas kembali. Beberapa minggu menjelang pilihan raya umum pada 2018, Benting kecoh dengan demam pilihan raya. Penduduk bandar itu berharap untuk lebih banyak pembangunan dibawa terutama dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion ringgit sejak berlangsung.

Penyandang ahli Parlimennya pada masa itu, Liow Tiong Lai bukan saja presiden MCA tetapi juga menteri pengangkutan. Ketika itu, beliau sudah pun tiga penggal menjadi ahli Parlimen di situ. Bentong adalah kerusi tradisi MCA sejak merdeka.

Liow juga disenangi ramai penduduk tempatan yang berterima kasih padanya atas pertumbuhan ekonomi kawasan itu. Mereka berkata Liow membawa aktiviti sosioekonomi ke kawasan itu, menggalakkan keusahawanan tempatan, mengumpul dana untuk penduduk tempatan dan meletakkan Bentong dalam peta pelancongan.

Liow sendiri berkata pelan induknya untuk Bentong ialah menjadikannya bandar satelit untuk Kuala Lumpur. Semua nampak indah pada zahirnya, dan pengundi gembira ahli Parlimen mereka.

Bagaimanapun, mereka juga mendengar khabar angin mengatakan Liow mungkin menjadi kerosakan cagaran jika tsunami politik berlaku, terutama apabila pengundi Melayu – kebanyakannya peneroka Felda – mahukan perubahan dalam mengundi.

Dan tepat sekali, pada malam hari mengundi, Liow antara ramai pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang kalah. Beliau tewas di tangan aktivis alam sekitar Wong Tack yang bertanding atas tiket DAP, dengan majoriti 2,032 undi.

Mungkin petandanya memang sudah sedia ada kerana pada PRU 2013, Liow hanya mengalahkan Wong Tack dengan 379 undi majoriti.

Kini PRU15. Liow sekali lagi menjadi calon BN untuk Bentong. Kali ini, beliau hanya bekas wakil rakyat, tanpa jawatan dalam parti atau kerajaan. Namun, beliau melakukan tinjauannya sekitar Bentong, cuba menawan kembali sokongan pengundi, mahu memastikan legasinya di kerusi itu tidak dilupakan, dan mungkin dapat diperkasakan. 

“Pengundi menunjukkan respons sangat positif untuk saya kembali ke Bentong. Saya menerima banyak mesej yang baik-baik sejak mengumumkan hasrat untuk bertanding di sini sekali lagi.

“Malah, penduduk Bentong yang menggalakkan saya untuk kembali, dan saya sahut harapan mereka. Mereka yang menyokong saya selama ini dan saya akan melakukan terbaik untuk mereka pada PRU15,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penduduk Bentong berkata Liow Tiong Lai membawa aktiviti sosioekonomi ke kawasan itu selain meletakkan Bentong dalam peta pelancongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 4 November, 2022.

Beliau turut mempertahankan sepanjang menjadi ahli Parlimen Bentong, banyak pencapaian dapat dilihat selama empat penggal.

“Saya bersungguh-sungguh membangunkan Bentong menjadi seperti hari ini. Saya tahu pengundi dapat menilai siapa calon terbaik untuk mewakili mereka.

“Saya percaya pengundi, tanpa mengira kaum akan memilih dengan bijak. Mereka mahukan ahli Parlimen yang dapat berkhidmat secara berkesan,” kata Liow, 61.

Lawan Liow kali ini bukan Wong Tack yang sudah digugurkan oleh DAP, tetapi digantikan dengan penyandang DUN Ketari yang popular, Young Syefura Othman.

Bayang Wong Tack belum lagi hilang dari Bentong kerana beliau memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Liow berkata melihat Wong Tack bertanding sebagai calon bebas menunjukkan ada masalah dalam DAP. – 4 November, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen