Penternak ikan didakwa bunuh 4 beranak dalam kemalangan di Bentong


Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan, lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di Bentong pada 2.30 petang, 28 Januari lepas. – Gambar Bomba Bentong, 4 Februari, 2022.

SEORANG penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas. 

Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan, lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di Bentong pada 2.30 petang, 28 Januari lepas. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia tertuduh. 

Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine pada 11.45 pagi, 28 Januari lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine pada 12.05 tengah malam, 29 Januari lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun. 

Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi. 

Pada 28 Januari lepas, media melaporkan kemalangan tragis yang meragut nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu isyarat merah. 

Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – Bernama, 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen