PRU15: Mahasiswa wajib pulang mengundi


Naim Al-Kalantani

“MENGUNDI ni macam mana sebenarnya?” Tanya seorang rakan ketika kami sedang menunggu untuk masuk ke dewan untuk menonton teater.

Terkebil-kebil saya memandangnya. Umurnya kini 21 tahun. Boleh kata jasa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadikan #Undi18 ini tercapai.

“Apa yang awak tahu fasal PRU (Pilihan Raya Umum)?” Tanyaku ringkas. Dia menggeleng laju. Katanya tak tahu apa-apa. Bakal bergelar pengundi kali pertama. Saya menyemak laman web Suruhanjaya Pilihan Raya, ada namanya sebagai pengundi di kawasan Wangsa Maju.

“Ini apa benda ‘Wangsa Maju’ ni?” Tanya rakan.

Apa yang Syed Saddiq buat itu bagus. Secara peribadi, saya sokong. Tapi perlu akur, rakan saya yang berumur 21 tahun ini pun masih tak tahu apa-apa mengenai pilihan raya umum.

Hanya ada dua kemungkinan: Pertama, memang dia tak nak ambil tahu mengenai politik. Kedua, dia tiada akses kepada pengetahuan politik.

Kalau rakan saya umurnya 21 ini pun masih tidak tahu bagaimana mahu mengundi dan apakah itu mengundi, saya tidak pelik remaja yang telah matang umurnya 18 tahun pun tak tahu apa-apa mengenainya.

Masalahnya hanya satu – semasa Syed Saddiq melobi perkara ini, dia lupa (atau tak sempat) ubah sistem pendidikan kita. Pendidikan politik di Malaysia sangat lemah. Sebutkan saja perkataan ‘politik’ terus dalam kepala remaja ia akan bersifat sangat kepartian.

Di luar dewan teater, saya mencoret beberapa halaman kertas dalam buku notanya. Diconteng-conteng untuk memberi kefahaman asas kenapa kita wajib mengundi.

Ada perkara yang kita tak dapat lawan – contohnya sistem. Sistem kita memang buruk dan punyai masalah yang sememangnya telah diketahui ramai. Contohnya sistem pengundian first past the post.

Hamburkanlah fakta-fakta yang sistem ini memang bermasalah sekalipun, tetapi mahu tidak mahu, kita sebagai rakyat Malaysia dah terlambat untuk tukar sistem dan perlu hadap sistem sedia ada.

Sistem ini kejam. Kertas undi rosak dan personal yang tidak mengundi tidak akan dikira. Maaf. Kita kira. Tapi kiraan yang dibuat hanya untuk kumpulkan data. Yang kita kira adalah undi calon yang terbanyak akan menang kerusi tersebut.

Tiada istilah ‘protes’ dalam sistem ini. Memang penganalisis politik boleh kata, “ramai orang tak turun mengundi untuk PRU menandakan rakyat sedang protes pilihan raya.” Tapi perlu ingat, protes itu tidak dikira.

Sepatutnya 10,000 orang pengundi di sesuatu kawasan, tapi hanya 3 orang yang turun mengundi. Seorang mengundi Parti A. Dua orang mengundi Parti B. Sistem first past the post menjanjikan kemenangan kepada parti B. Itulah kebejatan sistem ini yang mahu tidak mahu, kita perlu mengundi.

Mahasiswa merupakan satu gerombolan manusia yang paling mudah untuk mendekati dunia politik sama ada kepartian atau tidak. Kemampuan siswa-siswi kini hanya di hujung jadi. Sepatutnya perkara asas ini – sekurang-kurangnya setelah diaktakan – ia perlu mendapat perhatian daripada mahasiswa. Tetapi ia tidak terjadi dalam masa dua tahun ini.

Sibuk berpolitik kepartian selepas 2018. Kes tikam menikam sesama pimpinan atasan, kes merebut kerusi dan isu-isu rasuah menjadikan pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa sangat perlahan.

Ada, bukan tidak ada gerakan-gerakan kecil yang cuba untuk mendedahkan perkara ini. Tetapi ada dalam kalangan pelajar – sekolah dan universiti – yang berfikir, “umurku baru 17 tahun, kenapa perlu ambil tahu?”

Dia lupa umurnya 17 tahun itu pada tahun 2020. PRU15 akan datang umurnya berapa? Perkara-perkara seperti inilah yang tidak dicanang di dalam kelas-kelas pengajian baik di sekolah ataupun bilik-bilik kuliah.

Saya kagum dengan beberapa gerakan yang sedang berkempen untuk mendedahkan pendidikan politik secara santai dan mudah.

Contohnya Fahmi Reza dengan inisiatif sendiri mengadakan #KelasDemokrasi melalui medium TikTok setiap 10 malam. Fahmi hampir setiap hari juga memuat naik video snippet di Instagram, Twitter dan Facebook untuk tatapan pengguna media sosial lagi.

Katanya, inisiatif ini khusus untuk pengundi baru. Tetapi percayakah kalian bahawa ada pengundi lama yang sebenarnya dah tak ingat bagaimana demokrasi, sistem Parlimen dan pilihan raya itu bergerak.

Bukan sahaja menjadi tarikan kepada pengundi lama, tapi pengguna media sosial rata-rata memuji tindakan Fahmi yang mengutarakan satu konsep yang kita selama ini anggap ia kompleks, dalam bentuk yang interaktif dan mudah.

Tahun 2018, satu gerakan atau kempen yang sangat besar dibawa oleh rakyat untuk rakyat. Kempen #UndiRabu dan #PulangMengundi menjadi tular di media sosial. Semasa itu, terutamanya melalui Twitter sangat ‘keos’ dan juga menarik.

Orang perseorangan hanya membuat satu percikan, kemudian ia menjadi satu perkara yang besar dan boleh menggerakkan kesedaran rakyat Malaysia di seluruh dunia. Momen ini terakam melalui dokumentari pendek di YouTube bertajuk “Malaysia’s Amazing Race: The Impossible GE14 Mission”.

Rupanya kempen tersebut tidak tamat dan pengguna media sosial masih aktif berkempen #PulangMengundi. Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah mengeluarkan arahan supaya diberi cuti kepada mahasiswa.

Terbaru, kempen #UndiBanjir yang baru sahaja dibuat mengumpulkan kumpulan sukarelawan kempen-kempen untuk mengundi pada PRU15 nanti. Satu laman web telah dibangunkan oleh pihak mereka, undibanjir.com.

Laman web ini bertujuan untuk mengumpulkan dana, mendirikan pangkalan data carpool, penyelarasan bantuan banjir dan menyediakan pendidikan politik terutama bagi pengundi kali pertama.

Gerakan-gerakan lain juga sudah mula menunjukkan tagar (tanda pagar) masing-masing. Terbaru, 33 buah gerakan mahasiswa menyatakan 15 Manifesto Mahasiswa kepada parti-parti politik dan akan menjelajah kampus ke kampus untuk menyampaikan tuntutan mereka.

Gerakan tagar #MahasiswaMengundi pun telah muncul kembali di media sosial terutamanya Twitter setelah kali terakhir dilihat pada 2018 lalu.

Sebenarnya apa guna semua gerakan-gerakan ini dibuat? Adakah ia semata-mata ingin menghabiskan masa berpolitik sahaja?

Mereka semua ini ingin suburkan kesedaran kepada masyarakat Malaysia. Yang saya lihat, fokus utama pada PRU15 kali ini kepada mahasiswa, pengundi kali pertama dan #Undi18.

Gerakan-gerakan ini semuanya mengetahui bahawa sistem yang digunakan di Malaysia ini punyai kebobrokan yang tersendiri dan secara langsung mereka sedar yang setiap dari kita perlu turun mengundi.

Dari 2018 lagi isu #UndiRosak dan tidak mengundi menjadi wacana sensasi apabila mendekati PRU. Tetapi diulangi, sistem kita sudah sebegitu – mengundilah! – 26 Oktober, 2022.     

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen